PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Rokok elektronik, yang menjadi kegilaan ramai, didapati mengandungi bahan pengawet yang boleh membawa kepada kanser, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata antara bahan pengawet itu ialah nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet memetik MStar.

Kementerian Kesihatan Sahkan Vape Boleh Sebabkan Kanser

“Ramai pengguna menghisap lebih daripada lima volt untuk mendapatkan asap yang banyak.

“Bahan pengawet itu boleh meningkatkan kemungkinan kepada kanser,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Isu itu dibangkitkan beberapa anggota Parlimen termasuk Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang menyatakan kebimbangan penggunaan rokok elektronik yang boleh menjurus kepada peningkatan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berpendapat cadangan penubuhan Farmasi Rakyat 1Malaysia, yang dicadangkan Irmohizam dilihat praktikal berdasarkan kesesakan dialami kebanyakan farmasi di hospital kerajaan.

Beliau berkata ia memudahkan pesakit mendapatkan bekalan perubatan tanpa perlu ke hospital, terutama bagi kawasan pedalaman.

“Cadangan pembinaan farmasi itu adalah satu idea yang bagus,” katanya.

Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 antara lain bertujuan menubuhkan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia bagi mengawal selia amalan profesion kesihatan di negara ini.

Akta itu adalah terpakai bagi mengawal selia Profesion Kesihatan Bersekutu yang menyenaraikan 23 profesion antaranya ahli Audiologi, ahli Fisioterapi, ahli Pemakanan, ahli Terapi, Jururadiografi Diagnostik, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Sains Forensik dan Pegawai Sosial Perubatan.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.