PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Langkah mendepani cabaran situasi ekonomi yang meninggalkan kesan kepada setiap lapisan masyarakat dan negara secara keseluruhannya telah diberi perhatian dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bertemakan ‘Mensejahterakan Kehidupan Rakyat’, pembentangan yang mengambil masa selama kira-kira lebih dua jam tersebut memberi tumpuan terhadap lima keutamaan memetik Astro Awani.

Bajet 2016: Cukai orang kaya naik ke 28% dan had pelepasan cukai golongan pertengahan dinaikkan

Lima keutamaan tersebut merangkumi usaha memperteguh ketahanan ekonomi negara; meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; mempersiaga modal insan; memperkasa agenda Bumiputera; dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Begitupun terdapat beberapa intipati penting yang menjadi tarikan dalam pembentangan tersebut:

PEMBERIAN KHAS KAKITANGAN KERAJAAN

Pemberian Khas pada Januari 2016 berjumlah RM645 juta merangkumi jumlah RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada seramai 1 juta pesara kakitangan kerajaan.

Walaupun kakitangan awam tidak mendapat bonus seperti yang diharapkan, pemberian imbuhan tersebut tetap dianggap berharga kerana ia mampu meringankan kos sara hidup khususnya mereka yang terkesan dengan kenaikan harga tol, minyak dan harga barangan keperluan harian.

BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M)

Dalam pembentangan Bajet 2016 tersebut, Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2016 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000.

Sementara itu, BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800, manakala bagi individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Najib menambah, satu kategori baharu akan diperkenalkan bagi semua penerima dalam senarai e-Kasih yang  berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan.

GAJI MINIMUM SEKTOR AWAM

Dalam pembentangan tersebut, kerajaan berjanji untuk menambah baik perkhidmatan awam berkuatkuasa 1 Julai 2016 berjumlah RM1.4 bilion.

Gaji asas minimum untuk kakitangan awam ditetapkan pada RM1200 sebulan dan ini akan memanfaatkan seramai 60,000 penjawat awam.

Sementara itu, kadar pencen minimum RM950 sebulan layak diterima mereka yang sekurang-kurangnya telah berkhidmat selama 25 tahun. Pelarasan itu memanfaatkan kira-kira 50,000 pesara awam.

GAJI MINIMUM DINAIKKAN

Dalam pelarasan yang menambah baik gaji minimum pula, kerajaan menetapkan gaji minimum RM900 dinaikkan kepada RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ia dinaikkan daripada RM800 kepada RM920.

Kadar baharu itu akan bermula pada 1 Julai 2015 di semua sektor terlibat kecuali bagi perkhidmatan domestik.

CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)

Dalam usaha menambah baik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerajaan mengumumkan kadar sifar GST kepada semua jenis ubat terkawal di bawah Racun Kumpulan A, B, C dan D yang merangkumi 8,630 jenama ubat berbanding 4,215 sekarang ini. Ini meliputi keperluan ubat-ubatan bagi 30 jenis penyakit seperti barah, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Selain itu turut dikenakan kadar sifat GST ialah barangan tambahan seperti susu bayi dan kanak-kanak berasaskan soya dan susu organik, kekacang (kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih), biji sawi, gula perang, akar teratai dan mi kolok.

Pelepasan GST untuk pembelian alat pengajaran untuk latihan kemahiran dan vokasional. Ini termasuk perolehan bahan peralatan oleh pusat latihan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

PELEPASAN CUKAI

Usaha menambah pendapatan boleh guna bagi golongan pertengahan (M40) antaranya dilakukan dengan menaikkan had pelepasan cukai mulai tahun taksiran 2016. Had pelepasan cukai itu dinaikkan kepada RM2,000 bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun dan RM4,000 bagi pembayar cukai individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan .

Selain itu, had pelepasan cukai juga dinaikkan kepada RM8,000 bagi ibu bapa kepada anak OKU yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara.

Turut diberi perhatian adalah pelepasan cukai pendapatan ke atas caruman skim PERKESO iaitu kelayakan caruman wajib dinaikkan kepada RM4,000 berbanding RM3,000 sebulan dan ini memanfaatkan kira-kira 500,000 pekerja.


CUKAI GOLONGAN KAYA

Kerajaan turut memperkenalkan banjaran pendapatan cukai baharu bermula 2016 untuk golongan yang meraih pendapatan antara RM600,001 hingga RM1 juta iaitu 26 peratus berbanding 25 peratus sekarang ini, manakala bagi yang meraih pendapatan lebih daripada RM1 juta, kadar baharu cukai tersebut adalah 28 peratus berbanding 25 peratus.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.