PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Dakwaan Rafizi Ramli kerajaan akan mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih tinggi berbanding kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan, dibidas anggota Parlimen kerajaan yang menyifatkan Anggota Parlimen Pandan itu sengaja memutar belit fakta untuk menghasut rakyat.

Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang tegas menolak dakwaan itu menyifatkan pengiraan Rafizi ‘tidak logik’ mengambil kira perbelanjaan itu diandaikan dibuat oleh ‘orang biasa’.

Matematik Rafizi Ramli ditempelak akibat dakwa kerajaan kutip GST RM19 sehari

“Bagi saya orang biasa ialah mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Kalaulah RM17 sehari (kutipan kerajaan) maknanya beliau kena belanja RM283 membeli barang-barang berGST dan dalam tempoh sebulan perbelanjaan mencecah RM8,500 sebulan untuk membeli barangan GST sahaja memetik Astro Awani.

“Itu belum lagi barang-barang lain yang tidak dikenakan GST,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Nawawi berkata perkiraan Rafizi itu jelas tidak tepat kerana mereka yang tergolong dalam pendapatan itu tidak akan mampu membayar GST melebihi pendapatan bulanan.

“Mana logik matematik yang membolehkan gaji RM4,000 sebulan membeli barang lebih RM8,500 sebulan…tiap-tiap bulan dia akan berhutang RM4,500 atau lebih 100 peratus daripada sumber gaji bulanan,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa kerajaan bakal mengutip purata GST RM19 sehari daripada setiap keluarga di negara ini pada tahun depan dan jumlah itu lebih besar berbanding jumlah kenaikan BR1M hanya 14 sen sehari.

Peralihan cukai itu juga akan menyebabkan rakyat Malaysia akan membayar sebanyak RM13 bilion cukai tambahan bagi tahun depan, dakwa Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Perkara itu turut disentuh Ahmad Nazlan Idrin (BN-Jerantut) yang menyifatkan dakwaan Rafizi itu satu lagi penipuan dan perkiraan yang tidak waras.

“Ini lagi satu penipuan. Kalau seseorang belanja RM316 sehari bolehlah kerajaan kutip RM19 sehari, tapi adakah ini satu perkiraan yang waras?

“Rata-rata pendapatan golongan B40 tidak sampai RM3,000…maknanya ini satu lagi kaedah putar belit dan kenyataan menghasut rakyat,” katanya yang membahaskan rang udang-undang sama.

Putar belit pembangkang dalam isu GST turut menarik perhatian Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang menyelar sikap lantang mereka menolak GST, sedangkan cukai itu membantu meningkatkan pendapatan negara terutama ketika keadaan harga komoditi yang kini jatuh.

Noh turut mencadangkan kerajaan mewujudkan kluster atau kumpulan rakyat mendapat pengecualian GST terdiri daripada beberapa kategori seperti kumpulan pelajar, senarai penerima E-Kasih, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Tidak dapat dinafikan sudah beribu barang yang telah disenaraikan sebagai ‘zero’ GST termasuk semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016. Kerajaan mungkin memikirkan rakyat yang tidak berkemampuan hanya membeli barang yang dikecualikan GST sahaja,” katanya.

Noh turut menggesa kerajaan mempercepat pelantikan 3.6 juta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di seluruh negara bagi memperkasa pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Membahaskan isu sama, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) pula berkata kerajaan perlu memperkemas sistem penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan GST benar-benar memenuhi tujuannya selain mengelak kebocoran.

“Sekarang ada GST…itu okay…tetapi ramai yang mengambil kesempatan…ke mana mahu lapor. Saya lapor di sini (Dewan Rakyat) sebab semua orang boleh mendengar, rakyat boleh mendengar dan kerajaan boleh mengambil tindakan.
“Kalau tidak GST tinggal GST dan banyak orang akan mengambil peluang, yang tidak daftar (GST) pun ambil kesempatan. Rakyat mahu melihat keberkesanan penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga kecil mahupun besar yang mengambil kesempatan,” katanya.

Abdul Ghapur berkata cukai yang dilaksanakan sejak 1 April lepas itu dilihat bermasalah dan menjadi isu kerana sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan atas nama GST termasuk penyelewengan dan manipulasi harga barang.

Beliau berkata pada masa ini, rakyat terpaksa pergi ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membuat aduan, sedangkan tidak banyak cawangan jabatan itu di seluruh negara.

“Paling menyusahkan apabila rakyat terpaksa beratur panjang di Jabatan Kastam hanya kerana mahu mengadu mengenai penyelewengan dan penyalahgunaan GST. Kesian orang kampung, takkan hendak biarkan mereka turun ke bandar dan habiskan seharian untuk kemukakan aduan GST,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pusat atau kaunter aduan mengenai GST diperbanyakkan dan dibuka di seluruh negara termasuk di beberapa kawasan tumpuan awam di Sabah.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.