PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Suami aku sekarang sudah berubah, sekarang pemalasnya bukan main lagi, dahulu masa bercinta romantik sekarang hari jadi aku pun tiada hadiah lagi.” Dan rungutan para suami pada rakan taulannya, “Dahulu seksi menggoda sekarang badannya makin menjadi-jadi naiknya.”

Benarlah kata orang orang alam percintaan dan perkahwinan memang sangat berbeza. Dahulu masa berkenalan tidak nampak kekurangannya segalanya indah dan manis belaka tetapi kini ada sahaja timbul rasa tidak puas hati. Sukar betul untuk kita menerima kekurangan yang ada pada pasangan hidup kita.

Rungutan Suami yang Isteri Dulu Seksi Menggoda, Sekarang Gemuk Gedempol
Gambar hiasan.

Sekiranya kita sudah mengetahui si suami bergaji kecil sejak sebelum kahwin, mengapa kita tidak berpuas hati sekiranya apa yang dikehendaki tidak dapat disediakan. Jika kita sudah tahu suami bersifat malas kenapa dimanjakan di awal perkahwinan dahulu hingga dia terbiasa untuk tidak membantu dalam urusan rumahtangga.

Begitu jugalah halnya jika isteri anda sudah semakin besar badannya, kenapa tidak cuba membantu dan menyokongnya daripada segi sokongan moral dan kewangan agar ia kembali ke saiz asal, bukannya menyindir dan melemahkan semangatnya untuk kurus kembali.

Dalam kedudukan suami dan isteri yang hampir setara malahan sudah semakin ramai golongan isteri yang kedudukannya lebih tinggi daripada suami di zaman moden ini, pakar kaunseling dan terapi rumah tangga telah mengenalpasti hampir semua masalah rumah tangga berpunca daripada kurangnya rasa hormat terhadap pasangan kita.

Sebenarnya rasa hormat harus dilandasi atas satu perkara iaitu penerimaan. Adalah penting bagi suami atau isteri menerima pasangan seadanya. Kita harus menerima hakikat sebagai manusia biasa kita adalah insan yang dijadikan Allah dengan penuh kekurangan dan kelemahan. Janganlah kita hanya melihat kelemahan si dia sedangkan pihak suami juga terpaksa menerima kekurangan diri anda.

Masing-masing harus sering muhasabah diri bahawa jika ada sifat pasangan yang tidak disukai pasti ada juga sikapnya yang lain memuaskan dan menawan hati anda. Ingatkanlah saat manis ketika di awal perkahwinan dahulu.

Sebenarnya terdapat ramai pasangan yang masih bahagia walaupun wujudnya kehendak, peribadi dan sikap yang berbeza di antara mereka. Ini kerana jalinan kasih sayang yang kuat berjaya mengatasi kekurangan yang ada.

Bagi pasangan yang ingin bahagia mereka perlu berusaha untuk belajar mengubah sikap suka melihat kelemahan di antara satu sama lain. Tegurlah dan nasihatilah cara berhemah dengan menunjukkan contoh yang baik buat pasangan anda.

Jika kita boleh menerima pasangan seadanya, kita akan menjadi lebih tenang dan selesa ketika berada di sisinya. – Faridah Talib / Majalah Nur / Bercinta Selepas Nikah

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.