PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Fenomena jerebu yang melanda negara dijangka akan pulih sepenuhnya apabila angin timur laut mula bertiup pada November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail hari ini berkata situasi jerebu dijangka akan berterusan sehingga 25 Oktober kerana angin masih lagi bertiup dari arah barat daya.

Mulai November, negara akan mengalami monsun timur laut di mana angin dari Laut China Selatan tidak akan membawa jerebu dari Indonesia memetik Astro Awani.

Jerebu dijangka pulih November - Jabatan Meteorologi

“Bermula 26 Oktober, akan berlaku perubahan apabila ribut tropika lenyap. Maka angin dari pelbagai hala dan jerebu akan berkurangan. Tetapi ketika itu akan ada saki baki jerebu.

“Mulai November, kita akan mengalami monsun timur laut. Angin dari Laut China Selatan tidak akan bawa jerebu dari Indonesia.

“Bermakna, kalau masih berlaku jerebu di Indonesia, jerebu itu tidak akan melanda negara kita,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI hari ini.


Kenyataan itu, walau bagaimanapun, berbeza dengan satu laporan Reuters yang mengungkap kata-kata pegawai industri dan para penganalisis yang menjangka fenomena jerebu akan berterusan sehingga awal tahun hadapan.

Laporan itu berkata titik panas yang semakin bertambah di bahagian timur Indonesia dan kebakaran hutan di kawasan itu mungkin hanya akan dapat dipadamkan tahun hadapan.

“Mungkin ia akan berterusan sehingga bulan Disember dan Januari,” kata Herry Purnomo, seorang ahli sains di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa.

Katanya, titik panas kini telah sampai ke Papua, sebuah kawasan yang biasanya tidak terbabit dalam fenomena kebakaran hutan secara meluas.

“Ini disebabkan pembukaan kawasan pertanian baharu, seperti kawasan tanaman kelapa sawit,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kanan di sebuah syarikat yang aktif di kawasan hutan Indonesia pula berkata situasi jerebu mungkin berterusan sehingga Mac.

Bulan lalu, Indonesia mengarahkan empat syarikat untuk menggantung operasi kerana didakwa menyebabkan kebakaran hutan di negara itu.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.