PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kerajaan negeri Selangor menolak kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara, 12 daripadanya di Lembah Klang, berikutan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.

Sehubungan itu, Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad mengadakan pertemuan dengan Kesas Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd bagi menyuarakan bantahan itu memetik Bernama.

Kerajaan Selangor panggil syarikat konsesi Kesas buat mesyuarat khas

“PKNS dan KPS masing-masing memiliki saham minoriti 30 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya Kesas dan 20 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya Sprint.

“Atas sebab itu, PKNS dan KPS telah diminta untuk memanggil mesyuarat khas lembaga pengarah bagi kedua-dua konsesi tol ini bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung isu kenaikan kadar tol,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama termasuk di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa hari ini.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.