PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Mahkamah Trafik di sini diberitahu kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa tiga beranak, Mei lepas berlaku melalui pergeseran antara Myvi kuning dipandu tertuduh dan Pajero mangsa.

Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia, Mohd Amir Husna Nik Alli@Zulkifli berkata pelanggaran itu membabitkan sisi kanan Pajero dan sisi kiri Myvi kuning memetik laporan Bernama.

Ahli Kimia Kata Myvi Kuning Dan Pajero Berlanggar Secara Bergeser

“Cara pelanggaran yang saya maksudkan (dalam gambar rajah yang ditunjukkan pada mahkamah) ialah sisi kanan Pajero di bahagian tengah dan sisi kiri bahagian hadapan Myvi kuning telah berlanggar secara sebelah-menyebelah atau bergeser,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan dua pemandu Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan kesalahan itu di Km6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam hingga 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas.

Mohd Amir Husna merupakan saksi kelima yang dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang masuk hari keenam, hari ini.

Beliau yang berkhidmat selama 12 tahun di jabatan itu bertanggungjawab menyiasat tragedi berkenaan dan membuat laporan serta lakaran gambar rajah awal kemalangan yang berlaku.

Beliau memberitahu, laporan yang disiapkan itu diserahkan kepada pegawai penyiasat kes pada 20 Mei lalu.

Terdahulu kepada soalan Suhaimi mengenai adakah beliau boleh menentukan pelanggaran manakah yang berlaku terlebih dahulu, Mohd Amin Husna berkata tidak boleh.

“Berdasarkan pemeriksaan, saya tidak dapat menentukan antara kedua-dua pelanggaran ini, yang mana satu berlaku terlebih dahulu,” katanya.

Saksi itu berkata kebiasaannya beliau menentukan pelanggaran pertama berdasarkan pemeriksaan dan pemerhatian kepada kesan kerosakan (pada kenderaan) seperti kesan geseran dan kesan impak paling kuat yang biasanya menunjukkan kesan pelanggaran pertama.

Pada perbicaraan hari ini Mohammad Fizal Reza diwakili peguam S.N. Seelan manakala Siti Noor Aini diwakili peguam Omar Bakhi Ahmad.

Peguam pemerhati C. Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung pada 7 Dis.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.