PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Tidak kenal maka tidak cinta. Mungkin itulah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan pegawai akhbar Kedutaan Rusia yang enggan pulang ke negara asalnya selepas selesa tinggal di Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu.

Naib johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012, Polina Matveycheva mengakui cuaca sejuk dan bersalji di Rusia — sehingga mencecah 25 darjah Celsius bawah paras beku  — sering merisaukannya dan sentiasa menggamitnya pulang ke Malaysia.


Pertandingan pidato itu, yang diadakan di Kuala Lumpur, terbuka kepada pelajar-pelajar di serata dunia yang mengambil pengajian bahasa Melayu. Sejak itulah, gadis berambut perang ini berkenalan dengan Malaysia. 


“Saya sudah biasa dari kanak-kanak tidak suka salji, tidak suka hujan. Bila saya balik Moscow pada musim salji, tidak boleh tahan.

“Saya suka salji tetapi hanya pada hari pertama. Lepas itu, rasa hendak balik Malaysia. Tidak boleh tahan,” katanya ketika ditemubual ProjekMMO di sini, Sabtu lalu memetik TheMalayMailOnline.

Cinta berputik di Malaysia, Pegawai kedutaan Rusia enggan pulang
Bertugas sebagai pegawai akhbar di Kedutaan Rusia, Polina Matveycheva berharap hubungan Malaysia dan Rusia dapat dipertingkatkan terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

Mengakui jatuh cinta dengan masyarakat dan budaya Malaysia, Matveycheva berkata berat kakinya untuk meninggalkan negara ini kelak apabila tempoh perkhidmatannya di kedutaan tamat dua tahun lagi.

Beliau memuji Malaysia. Di matanya, negara ini sememangnya indah dan mempesona sebagaimana yang diceritakan pensyarahnya sewaktu menuntut di Moscow University of Oriental Studies tiga tahun lalu.

“Mungkin saya akan balik Rusia dua tahun lagi tetapi saya sangat suka di sini dan sekarang saya tidak mahu balik.  

“Saya suka Malaysia. Di sini semua orang senyum kepada orang yang tidak kenal. Di Rusia tidak begitu. Kalau tidak kenal orang, kalau senyum mereka, rasa pelik. Di sana tidak sama,” katanya.

Ditanya perbezaan ketara antara budaya Malaysia dan Rusia, gadis 24 tahun itu berkata warga Rusia sangat mementingkan masa dan segala perkara mahu disiapkan segera.

Pegawai kedutaan Rusia enggan pulang, cinta berputik di Malaysia
Polina Matveycheva, 24, naib johan pidato  Bahasa Melayu 2012 selesa di Malaysia dan mahu terus menetap di sini sejak menjejakkan kaki di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Anak tunggal kelahiran Moscow berkata menetap di Malaysia memberikannya sedikit ruang dan tidak perlu tergopoh-gapah dalam melakukan sesuatu.

“Gaya hidup di Moscow sangat berbeza, semua mahu cepat. Di sini relaks sedikit. Di Rusia sangat menepati masa. Bila saya baru datang ke sini sangat luar biasa.

“Saya telefon ke salah sebuah jabatan kerajaan, mereka kata akan telefon semula lima minit, tetapi tidak. Saya harus panggil balik sendiri. Ia sudah macam budaya tempatan. Saya sudah biasa.

“Di Rusia, kalau tidak panggil balik, orang akan marah. Kenapa tidak panggil balik sebab sudah berjanji. Perkataan paling popular di sini, ‘tak apa’,” katanya, sambil tersenyum manis.  


Lulusan pengajian Timur ini juga menggemari masakan pedas dan kuih karipap namun cuba mengelak menikmati nasi lemak kerana bimbang menjadi gemuk.

“Saya suka karipap dan sambal. Nasi lemak juga suka tapi tidak baik untuk badan; saya takut jadi gemuk. Hanya sekali dalam beberapa bulan,” katanya, yang menghabiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu.

Pegawai kedutaan Rusia enggan pulang, cinta berputik di Malaysia
Keadaan berjerebu di Kuala Lumpur saat ini merencatkan aktiviti riadah Polina Matveycheva yang gemar bersenam di Tasik KLCC atau Taman Tasik Titiwangsa.


Peminat filem “Ibu Mertuaku” dan “Penarik Beca” lakonan Tan Sri P Ramlee, Matveycheva  gemar melancong. Kedudukan Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara memudahkan beliau menikmati negara-negara jiran.

“Saya sudah melawat Bali, Kemboja dan Thailand. Lokasinya hampir dengan Malaysia. Tidak seperti di Rusia, negaranya besar; terpaksa terbang lapan jam untuk ke Vladivostok dari Moscow,” katanya, merujuk kepada dua kota besar Rusia yang jauhnya hampir 9,300 km.

“Di sini, saya sudah melawat Langkawi, Redang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Baru. Belum ke Sabah dan Sarawak tetapi mahu ke sana.

“Saya orang Rusia. Di Moscow tidak ada laut. Bila saya di Rusia beberapa tahun tentulah saya mahu ke laut, berjemur. Orang Rusia suka begitu,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.