PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang pemandu lori sempat melemparkan senyuman selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan perkosa kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, November tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Affifuddin Ismail, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sazlina Safie memetik Harian Metro.

Pemandu Lori Perkosa Budak 11 Tahun Tersengih Selepas Mengaku Tak Bersalah

Dia dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kikir, Bahau.

Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan bayi lelaki secara songsang di sebuah klinik kesihatan di Bahau pada jam 9 pagi, 8 Ogos lalu.

Bayi seberat lebih satu kilogram selamat dilahirkan dan mangsa dibawa ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Bagaimanapun, bayi terbabit meninggal dunia di HTAN akibat radang usus jam 4.40 pagi.

Selepas lebih sebulan menyembunyikan diri, tertuduh akhirnya ditahan polis di rumah keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan kes berkenaan sangat serius membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun, selain mengambil tempoh lama membolehkannya ditahan.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili Abdul Aziz Hamzah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Seremban memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan dia diikat jamin.

Sazlina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 daripada seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan, selain melarangnya mendekati mangsa atau keluarga hingga kes selesai.

Sazlina menetapkan 26 November untuk sebutan semula kes berkenaan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.