PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Saya bukan penjenayah, pistol itu hanyalah mainan untuk tembak cicak di rumah. Alhamdulillah, saya didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada petang tadi (semalam),” kata bekas vokalis Kumpulan Ukays, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46.

Amir terkejut apabila berita dan gambar senjata api dimilikinya menjadi viral selepas ditahan pihak polis dipercayai memiliki senjata api.
Amir ditahan di kawasan letak kereta pangsapurinya di Sentul, di sini, kira-kira jam 1.45 pagi pada Rabu lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan Walther CP99 Compact dengan nombor siri 12L20520.

Amir berkata, pistol berkenaan adalah pemberian seorang peminat padanya kira-kira lapan bulan lalu.

Kontroversi Pistol Amir Ukays

“Saya tidak tahu menjadi kesalahan jika memiliki pistol mainan. Saya juga tidak tahu perlu memiliki lesen untuk memiliki pistol mainan.

“Tidak dinafikan, pistol berkenaan menyerupai pistol, tetapi ia hanyalah pistol mainan.

“Selalunya, saya letak pistol berkenaan di rumah untuk kegunaan menembak cicak, tetapi pada tengah hari semalam, anak saya membawa turun dan tertinggal dalam kereta.

“Saya tidak sempat membawa naik semula kerana bergegas ke studio untuk latihan vokal program Gegar Vaganza2.

“Bagaimanapun, saya kurang bernasib baik apabila ditahan sepasukan polis ketika berada dalam kereta di kawasan letak kereta di rumah selepas pulang latihan,” katanya.

Penyanyi lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu itu berkata, ketika ditahan, pistol berkenaan berada di tepi pehanya.

“Ketika itu, saya baharu saja mahu mematikan enjin kereta, saya didatangi sepasukan polis. Apabila nak keluar dari kereta, mereka ternampak pistol berkenaan.

“Saya mengakui pistol itu milik saya kerana saya tahu itu pistol mainan. Jadi, saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk soal siasat.

“Alhamdulillah, saya dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas disoal siasat. Berita saya ditahan reman tidak benar.

“Saya memberi kerjasama kepada polis kerana saya tahu saya tidak bersalah, saya bukan perompak atau penjenayah. Tiada apa yang harus saya takutkan,” katanya ketika dihubungi BH, malam tadi.

Amir berkata, dia memaafkan mereka yang meviralkan gambar dan pistol miliknya itu.

“Tidak mengapalah, saya sudah maafkan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan sudah melupakannya.

“Saya kini sudah dibebaskan dan paling penting, pihak polis mempercayai keterangan saya, mengakui apa yang berlaku tidak menjejaskan tumpuannya pada program realiti, Gegar Vaganza2 yang disertainya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.