PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Video lelaki tidak berbaju baring sambil bersenam di tengah lebuhraya PLUS | Video berdurasi 45 saat yang menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju melakukan aksi regangan di tengah-tengah lebuh raya di negara ini menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi mengesahkan insiden itu berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi 4 Oktober lalu memetik MStar.

Lelaki senamrobik di tengah lebuhraya PLUS

“Pusat Pemantauan PLUS menerima satu panggilan daripada seorang pengguna lebuh raya yang memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki baring di tengah-tengah lebuh raya di KM268.2 (arah utara) di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bandar Ainsdale, Seremban,” menurut PLUS.

Menurut syarikat itu, pasukan PLUSRonda dengan segera bergegas ke tempat kejadian, namun lelaki berkenaan dipercayai telah meninggalkan lokasi lebih awal.

Video itu yang dimuat naik di sebuah halaman komuniti Facebook pada Selasa lalu ditonton hampir 800,000 kali dengan lebih 6,000 kongsi.

Ia menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju berbaring di lebuh raya sambil mengangkat kedua-dua tangan dan kakinya.

Lelaki yang tidak dikenali itu membuat aksi regangan dengan mengangkat kaki. Pengguna lebuh raya memperlahankan kenderaan mereka bagi mengelakkan daripada melanggarnya.

Sebuah kereta sedan warna perak dipercayai milik lelaki berkenaan kelihatan diletakkan pada arah bertentangan di sebelahnya.

Lelaki tersebut dan keretanya didapati menghalang dua laluan daripada empat laluan lebuh raya ketika itu.

Seorang pengguna Facebook, Norzuliana Binti Zakaria memberikan komen berhubung video itu dengan mendakwa bahawa dia berada di tempat kejadian ketika ia berlaku.

“Ia berlaku di depan mata saya, dia pandu kereta sangat laju di Lebuhraya KL-Seremban,” katanya.

Tambah Norzuliana, lelaki tersebut memintas pemanduannya, dan hilang kawalan sehingga hampir melanggar pembahagi jalan.

“Kereta dia berpusing, dan selepas itu dia keluar dari kereta dan secara tiba-tiba dia baring di atas jalan. Dia tidak berbaju dan badannya mempunyai kesan membuat bekam,” katanya.

Menurut Norzuliana, lelaki berkenaan kemudiannya bangun dan beredar selepas lima minit.

“Saya tidak tahu untuk katakan lelaki itu kurang siuman. Dan selepas kami memintas keretanya, dia dilihat sedang menghisap rokok dengan keadaan keretanya dipasang lampu kecemasan,” katanya.

Ramai netizen turut mempersoalkan apakah punca lelaki berkenaan baring di atas jalan, dengan beberapa orang turut memberi komen bahawa dia bernasib baik kerana tidak dilanggar atau mengalami kecederaan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.