PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

SELAIN cerita perihal kerjaya, apabila menjadi seorang artis, kisah peribadi termasuk cerita cinta sering menjadi topik yang diperkatakan.

Begitu juga dengan apa yang dilalui pelakon dan pelawak terkenal, Abam apabila sejak kebelakangan ini, cerita soal cinta dan jodoh antara yang acap kali ditebak kepada jejaka berusia 27 tahun itu.

Bahkan, Abam juga pernah mendedahkan bahawa dia adakalanya meragui keikhlasan wanita yang ingin berkenalan dengannya lebih-lebih lagi selepas bergelar selebriti.

Apatah lagi jika memikirkan keadaan saiz fizikal yang dimiliki, katanya perkara itu membuatkan dirinya sentiasa berwaspada memetik Kosmo!.

Siapa Kekasih Abam Bocey?

Sungguh pun begitu, soal jodoh dan pertemuan semuanya telah diatur oleh-Nya. Sebagai manusia sudah pasti kita hanya mampu merancang. Terkini, Abam mengakui dirinya kini sedang dalam fasa mengenal hati budi seseorang.

"Ya, saya sedang berkawan dengan seorang wanita. Perkenalan itu masih lagi baru. Saya mengenalinya melalui salah satu aplikasi laman sosial kira-kira dua bulan lalu," kongsi pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan itu.

Biarpun tempoh perkenalan itu masih boleh dianggap singkat, wanita berusia 22 tahun itu yang berjaya mencuit hati Abam pada masa sama sebenarnya telah memikat hati ahli keluarganya yang lain.

"Memang kebiasaan, kalau saya berkawan dengan sesiapa, saya akan perkenalkan kepada ibu terlebih dulu.

"Saya sudah bawa dia jumpa dengan ibu untuk duduk semeja makan sama-sama. Dia nampaknya memang boleh ‘masuk’ dengan ibu saya. Ibu saya pun selesa dengan gadis itu," katanya.

Kata Abam, dia juga kini dalam perancangan untuk bertemu dengan ahli keluarga pihak sebelah perempuan.

"Dia berasal dari Lahad Datu, Sabah. Cumanya, sekarang ini dia tinggal di Shah Alam, Selangor. Saya belum berkesempatan untuk bertemu dengan ibu bapanya lagi. Bagaimanapun, saya akan berjumpa dengan abangnya yang juga tinggal di Semenanjung terlebih dulu," katanya.

Kongsi Abam, wanita tersebut memberitahu mula meminati dirinya selepas menonton program masakan Ketuk-Ketuk Ramadan yang dihoskan Sheila Rusly.

"Dia beritahu mula mengikuti perkembangan saya selepas melihat saya memasak. Dia mungkin suka lelaki yang pandai masak kot," seloroh pelakon filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa itu.

Sungguh pun wanita tersebut merupakan orang luar industri, kata Abam, dia seorang yang amat memahami kerjayanya.

"Saya pernah bawa dia melihat sendiri bagaimana saya bekerja. Dari situ, dia boleh faham cara kerja saya.

"Sebab itu apabila dia mesej dan beritahu tengah kerja, dia tak akan mesej lagi dan hanya tunggu saya mesej atau menelefon dia semula sahaja,"katanya ketika ditemui sewaktu sidang media program MyFIDELE di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, menerusi program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MyNIC, Hasnul Fadhly Hasan berkata, ia merupakan satu pendedahan yang bagus buat individu yang ingin menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan memiliki domain sendiri.

"Kalau kita lihat, golongan artis juga ramai yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.

"Dengan pendedahan yang lebih baik kita sasarkan sehingga 400,000 domain yang akan didaftarkan pada tahun depan," katanya yang memberitahu program MyFIDELE akan diadakan pada 6 Disember depan di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor itu akan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis termasuk Abam.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.