PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Adik lelaki kepada seorang mangsa yang lemas di Tasik Ara Damansara di sini petang tadi, menyaksikan sendiri abang dan tiga rakannya lemas ketika cuba mengambil selipar salah seorang daripada mereka yang jatuh dalam tasik itu.

Mohd Huzain Mohamad Ady, 11, berkata dia dan empat lagi mangsa iaitu abangnya Mohd Fikry, 14, serta tiga rakan mereka, Hafiz Hakimi, 14, Norasyikin Jamil, 12, dan Raja Iskandar Shah Raja Shukri Amrun, 13, pergi ke tasik itu kira-kira 3 petang untuk mandi di situ memetik Mstar.

Adik kongsi detik cemas abangnya dan 3 rakan lemas di Tasik Ara Damansara
Adik Cerita Detik Abang Dan Tiga Rakan Lemas Di Tasik

“Saya bersama kawan-kawan abang bermain di tebing tasik. Kemudian sebelah selipar kawan abang (Norasyikin) terjatuh ke dalam tasik. Abang cuba mengambilnya dengan terjun ke tasik sebelum terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Mohd Huzain berkata sejurus melihat abangnya lemas, dia dan tiga lagi mangsa turut terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkannya.

“Kami berpaut antara satu sama lain, namun semuanya tenggelam,” katanya sambil menambah dia sempat diselamatkan dua pengawal keselamatan selepas mendengar jeritan mereka meminta tolong.

“Adik sangat terkilan kerana abang tidak dapat diselamatkan,” kata murid Sekolah Kebangsaan Lembah Subang itu.

Ibu kedua-dua beradik itu, Laila Warmon, 51, berkata dia terkejut apabila menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anak keempatnya daripada lima beradik itu.

“Saya sedih dan reda dengan takdir ini,” katanya.

Ibu Norasyikin, Norhayati Ismail, 37, berkata dia menerima panggilan daripada suaminya kira-kira 5.30 petang tadi ketika dia di tempat kerjanya di Taman Mayang di sini.

Katanya anak ketiga daripada lima beradik itu amat rapat dengan Mohd Fikri dan sering bersama selepas waktu persekolahan kerana mereka tinggal di blok yang sama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini.

Norhayati berkata keluarganya telah menetap di PPR Lembah Subang hampir sembilan tahun dan amat mengenali keluarga jirannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata kesemua mangsa lemas itu tinggal di PPR Lembah Subang, Ara Damansara.

“Bomba berjaya menemui mangsa pertama lelaki pada pukul 5.30 petang, mayat lelaki kedua pada 6.06 petang, mayat ketiga pelajar perempuan kira-kira 6.10 manakala mayat terakhir pada 6.11 petang Jumaat.

“Kesemua mayat dikenalpasti oleh ahli keluarga yang hadir di tempat kejadian sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, PPUM untuk dibedah siasat,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.