PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Selepas makan pisang, anda mungkin membuang kulitnya. Namun tahukah anda bahawa kulit pisang sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan? Daripada kecantikan sehinggalah tanaman.

Dalam laporan kali ini, kami bawakan beberapa manfaat kulit pisang yang menakjubkan, tetapi jarang diketahui, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Times of India dan dipetik portal Merdeka.com.

Kelebihan Kulit Pisang

Menyuburkan tanaman

Kulit pisang boleh digunakan untuk kompos dan menyuburkan tanaman. Anda boleh menggunakan kulit pisang dengan memotong-motong, kemudian menaburkannya pada tanaman.

Kulit pisang akan buat tanah lebih subur dan tanaman cepat tumbuh. Anda juga boleh gunakan kulit pisang untuk menyiram tanaman. Caranya: rendam kulit pisang dengan air.

Kemudian campurkan air tersebut dengan lima bahagian air bersih yang biasa. Akhirnya, siramkan air berkenaan terus pada tanaman terbabit.

Menyembuhkan luka

Ramai tidak tahu kulit pisang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan luka dan membuat luka cepat sembuh terutama pada waktu kecemasan.

Caranya ialah dengan menggosokkan kulit pisang pada bahagian yang cedera, atau menampalkannya pada bahagian luka untuk satu malam.

Ini mungkin nampak lucu dan ala siri drama popular 1980-an MacGyver; namun tentunya anda perlu membersihkan kulit pisang sebelum itu.

Mengilaukan bahan kulit, perak

Menggosok bahan kulit, seperti beg atau kasut yang diperbuat daripada kulit, dengan kulit pisang boleh membuatnya kelihatan berkilat seperti jika menggunakan pengilap.

Bukan itu sahaja, rendaman kulit pisang juga boleh digunakan untuk membuat bahan-bahan perak menjadi lebih berkilau. Tidak percaya, cuba dahulu di rumah.

Menghilangkan kutil

Kulit pisang juga didakwa ramai pakar perubatan tradisional sebagai boleh menghilangkan kutil.

Caranya adalah dengan menampalkan kulit pisang pada kutil dan hanya membiarkannya semalaman.

Memang nampak kelakar tetapi cara itu diketahui boleh mengempiskan kutil secara beransur-ansur.

Menghalau serangga

Ini pasti lebih mesra alam dan dijamin bebas daripada penggunaan racun bahan kimia.

Kulit pisang boleh membantu untuk menghalau serangga perosak seperti lalat daripada tanaman.

Anda hanya perlu menaburkan sahaja kulit pisang pada tanaman tersebut, atau tanam kulit pisang di kebun. – Agensi

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.