PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“APA hujah kamu bahawa si fulan adalah seorang ulama?” Saya selalu tanya soalan ini kepada mereka yang terlalu taksub kepada satu individu.

Kalau mengikut Katolik Kristian, jawapannya mudah. Autoriti gereja di Vatican yang memberi tauliah kepadanya sebagai paderi dan pengampun dosa.

Dalam agama Buddha, sami tertinggi dalam Sangha yang mempunyai autoriti kata putus dalam menentukan darjat rohani seseorang. Adakah ini juga pandangan Islam?

Ketua MACMA persoal status seorang ulama
Betulkah dia seorang ulama?

“Betulkah dia seorang ulama?” Saya dituduh menghina ulama dengan hanya tanya soalan ini! Sebenarnya, soalan ini sangat penting kerana dua sebab:

Yang pertama, ia mengelakkan diri kita daripada taksub kepada seseorang yang dilabel ‘ulama’.

Ia mengajak kita untuk bermuhasabah kembali pandangan kita mengenai indikator-indikator seorang ulama, dan tidak mengikut sahaja buta tuli.

Penilaian kita terhadap ulama mungkin salah. Kalau kita menolak persoalan ini, ia sebenarnya adalah indikator tahap taksub kita sendiri.

Yang kedua, soalan tersebut sebenarnya menguji sejauh mana kita faham perbezaan Islam dengan agama-agama lain. Adakah Islam juga menyuruh kita ikut sahaja jari telunjuk institusi birokrasi Islam atau autoriti-autoriti agama seperti Katolik Kristian dan Buddhisme?

Apakah hujah yang biasa digunakan untuk buktikan seseorang itu ulama?

Katakan hujahnya ialah “Dia adalah ulama kerana dia berjaya mendapat tauliah daripada birokrasi pentadbiran Islam.” Kalau ini hujahnya, bagaimana kalau timbul persoalan sejauh mana birokrasi itu sendiri adil, tidak prejudis?

Birokrasi adalah di tadbir oleh individu-individu yang berkepentingan. Sejauh mana individu-individu ini tidak dipengaruhi oleh agenda politik atau taksub mana-mana aliran agama?

Katakan hujahnya ialah seseorang individu adalah ulama kerana dia mempunyai ijazah agama. Bagaimana kalau timbul persoalan sejauh mana ilmunya adalah seperti yang digambarkan oleh ijazahnya?

Kita tidak nampak prejudis seseorang melalui ijazahnya. Dia mungkin kuat hafalan, cerdik kumpul nota dan pandai menjawab soalan peperiksaan tetapi bersifat prejudis kepada kitab-kitab tertentu!

Katakan hujahnya pula ialah dia seorang ulama kerana dia ramai pengikut. Bagaimana kalau timbul persoalan bahawa ketua ajaran sesat juga mempunyai ramai pengikut yang sanggup berkorban harta dan nyawa deminya.

Katakan hujahnya ialah dia seorang ulama kerana mempunyai keramat seperti boleh lakukan perkara luar biasa dan halau hantu. Bagaimana kalau timbul persoalan bahawa al-Masih Dajjal pun boleh menghidupkan yang mati!

Katakan hujahnya ialah dia seorang ulama kerana berketurunan Nabi Muhammad SAW. Bagaimana kalau timbul persoalan bahawa Imam Bukhari bukan seorang Arab dan bukan keturunan Nabi?

Katakan hujahnya ialah dia seorang ulama kerana dia dilantik menjadi pengerusi sebuah persatuan ulama.

Bagaimana kalau timbul persoalan bahawa persatuan juga adalah satu daripada jenis birokrasi yang ditadbir oleh insan-insan yang mempunyai kepentingan peribadi? Setiap persatuan adalah dikawal dan disempitkan oleh aliran pemikiran persatuan itu.

Katakan hujahnya ialah dia seorang ulama kerana dia adalah presiden sebuah parti Islam. Bagaimana kalau timbul persoalan bahawa dia dipilih oleh ahli-ahli parti yang jahil ilmu agama!

Katakan pula bahawa dia adalah seorang ulama kerana berserban besar, pandai bernasyid, juara program realiti dakwah, wajahnya yang bercahaya iman, beristeri empat, doanya sentiasa di makbul dan kuburnya satu hari nanti pasti menjadi tempat tabarrok dan tawassul!

Adakah ini tanda pasti bahawa dia adalah seorang ulama yang sejati?

Bagi saya, penilaian ulama bergantung kepada kualiti diri kita sendiri. Kalau kita adalah seorang yang ego, tidak fikir secara mendalam hujah lawan, individu yang kita label sebagai ulama adalah cermin keegoan diri kita sendiri.

Mencari ulama sejati adalah pengembaraan mencari dan membina diri kita. Pengembaraan ini akan lebih membuka mata jika kita tidak taksub kepada penilaian sendiri.

Ya, kita bukan ulama. Tetapi jangan jadikan ia alasan untuk elak kaji semula penilaian kita. Kerana kita bukan ulamalah, maka ada kemungkinan individu yang kita anggap sebagai ulama selama ini adalah sebenarnya ular semak!

* Abdul Naser Tun Rahman
Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim (MACMA) - Sinar Harian

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.