PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Hutan Melintang, di sini cedera di badan dan bahu selepas dikelar rakan sekelasnya pada kira-kira jam 10 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Pravien Kumar Balan, 17, dikatakan baru sahaja selesai menjawab peperiksaan Bahasa Inggeris Kertas 1 dan berada di koperasi sekolah sebelum dia tiba-tiba diserang menggunakan pisau pemotong kertas memetik Sinar Harian.

Detik Cemas Calon SPM Dikelar Rakan Sekelas

Rakan mangsa, Luwinder Ramachandran, 17, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakannya sedang duduk tidak jauh dari lokasi terbabit dan melihat suspek meluru ke arah mangsa dan menghayunkan senjata itu beberapa kali.

“Dia hayun pisau macam ular bergerak dan ketika itu badan Pravien sudah penuh dengan darah dan kami kemudian kejar suspek yang cuba lari selepas cederakan Pravien.

“Seorang daripada kami menangkapnya dan saya cuba ambil pisau dari tangan dia, tetapi dia terlalu kuat dan tangan saya juga luka terkena pisau sebelum ia berjaya dirampas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar unit kecemasan Hospital Teluk Intan (HTI) semalam.

Difahamkan, pelajar yang menyerang mangsa sudah lama tidak hadir ke sekolah dan dipercayai mempunyai masalah tekanan perasaan.

Bapa mangsa, Balan Thathan, 57, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja sebelum rakan sekolah anaknya datang dan memberitahu Pravien cedera dikelar.

“Waktu itu saya sudah menangis dan terus pulang ke rumah di mana guru Pravien sudah tunggu di rumah untuk bawa saya ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang bagi melihat keadaan anak.

“Pravien adalah anak bongsu daripada empat beradik dan setahu saya dia tidak pernah bergaduh dengan pelajar itu kerana kami semua kenal dia dan keluarganya,” katanya.

Balan berkata, dia diberitahu bahawa sebelum serangan, tiada pergaduhan berlaku antara anaknya dengan penyerang terbabit.

“Mereka cakap dia tiba-tiba hayun pisau ke arah leher anak saya dan dia sempat elak sebelum terkena di badan dan bahu kanannya,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Hutan Melintang, S Kesavan yang berada di hospital sempat meluangkan masa melawat mangsa di bilik kecemasan HTI.

Kesavan berkata, dia amat terkejut dengan insiden tersebut, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam kawasan sekolah.

“Kes kecederaan melibatkan pisau merupakan sesuatu kejadian yang berat dan ia bertambah serius apabila berlaku dalam kawasan sekolah. Ini menunjukkan bahawa remaja sekarang tidak teragak-agak melakukan jenayah di mana sahaja.

“Saya akan panggil pengetua sekolah berkenaan untuk mendapatkan laporan penuh mengenai kejadian ini dan apakah punca menyebabkan perkara ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, satu perbincangan akan diadakan bersama Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian bagi masalah itu.

“Perkara ini harus dipandang serius kerana menyebabkan kecederaan dan kita perlu bekerjasama mencari penyelesaian supaya ia tidak berulang dan menakutkan pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan mendapati punca awal adalah disebabkan pergaduhan mulut antara suspek dan mangsa yang merupakan rakan sekelas.

“Semasa kejadian semua pelajar baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM Bahasa Inggeris Kertas 1 dan salah seorang guru melihat sekumpulan pelajar sedang berkumpul.

“Mangsa ketika itu sedang mengacukan pisau kepada Pravien dan terkena pada bahagian bahu kanannya. Guru tersebut terus bergegas ke bilik guru bagi mendapatkan bantuan dari guru lain,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak hadir ke sekolah sejak tiga bulan lalu atas sebab cuti sakit yang memerlukan rawatan susulan berkenaan gangguan emosi di sebuah klinik pakar di Kuala Lumpur.

“Suspek baharu sahaja bersekolah semula dua hari lepas bagi menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.