PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Pelawak Shuib Sepahtu menceritakan detik ‘berkejar-kejar’ sebelum menimang anak ketiganya pada Jumaat lalu.

“Pada petang Khamis, saya terlebih dahulu berada di Shah Alam menjalani latihan untuk program #JuaraParodi. Selepas itu, saya terus bergegas ke Klang untuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 dari jam 7.00 malam sehingga 7.00 pagi.

“Sepatutnya, Sarah dijadualkan menjalani pembedahan caesarean untuk melahirkan bayi pada pukul 9.00 pagi. Tamat saja penggambaran, saya terus bergegas menempuh kesesakan lalu lintas dari Klang ke hospital yang terletak di Ampang untuk menemani Sarah.

“Nasib saya sangat baik kerana apabila saya sampai, Sarah belum lagi masuk ke dalam dewan pembedahan. Akhirnya, Sarah masuk ke dewan pembedahan pada jam 12.00 tengah hari dan melahirkan anak pada jam 12.27 tengah hari. Alhamdulillah,” kata Shuib yang ditemui selepas tamat program #JuaraParodi.

Dalam pada itu, Shuib juga sempat menceritakan pengalamannya yang hanya tidur selama satu jam setengah sebelum meneruskan perjuangan dalam #JuaraParodi memetik Astro Gempak.

Sebab Mengapa Shuib Sepahtu Layak Digelar Suami Mithali

“Sejurus sahaja menemani Sarah, saya tidur pada jam 2.30 petang dan bangun semula pada jam 4.00 petang. Selepas itu, saya terus bergegas semula ke Shah Alam untuk menjalani latihan akhir bagi #JuaraParodi.

“Selepas ini pula, saya perlu bergegas semula ke set penggambaran filem Abang Long Fadil 2 di Klang. Namun begitu, semua penat saya hilang dan saya sangat bersyukur kerana Sarah selamat melahirkan anak ketiga kami,” kata Shuib lagi.

Shuib dan Sarah berkahwin pada tahun 2011 dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni dan Dzahira Talita Zahra.

Dalam program #JuaraParodi, Shuib Sepahtu berpasangan dengan penyanyi Mark Adam dalam #JuaraParodi dan mereka menamakan kumpulan mereka sebagai Slumber Blur. Di minggu ketiga, Slumber Blur berjaya mendapat tempat ketiga daripaa 10 kumpulan.

“Saya sendiri tak sangka berjaya mendapat tempat ketiga kerana sebelum persembahan bermula, saya telah melalui pelbagai peristiwa. Saya sangat bersyukur kerana persembahan kumpulan kami berjaya diterima oleh semua pihak,” kata Shuib lagi.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki akan bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.