PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

AKHIR-AKHIR ini laman sosial Facebook banyak dibanjiri gambar-gambar nenas dalam saiz agak kecil berbanding nenas sedia ada.

Nenas yang lebih sinonim dengan rasa masam manis dan tajam mungkin tidak berapa digemari sesetengah pengguna.

Namun, ‘baby nenas‘ menjadi fenomena dan popular serta digemari kerana rasanya manis, rangup dan boleh dimakan begitu sahaja memetik Sinar Harian.

Baby nanas ini berasal dari Thailand dan dikenali dengan pelbagai nama seperti nenas Chiang Mai, baby nenas madu dan baby pine.

Bekalan nenas ini, rata-rata diperoleh dari Kelantan berikutan lokasinya berdekatan negara gajah putih itu.

Bermula dari Kelantan, fenomena nenas ini menular sehingga ke negeri-negeri lain dan secara tidak langsung mampu membantu menjana pendapatan sampingan kepada peniaga memandangkan baby nenas ini menjadi trend dan popular orang ramai.

Baby Nenas Semakin Mendapat Sambutan
Baby nanas kini menjadi kegemaran masyarakat Malaysia kerana ia rangup, manis, kecil dan boleh dimakan begitu sahaja.

SUKA KERANA UNIK DAN MANIS

Bagi seorang pembeli baby nenas, Nurazizah Mat Salleh berkata, dia menyukai baby nenas kerana rasanya yang manis, rangup dan tidak masam.

Menurutnya, baby nenas sangat popular di Kelantan dan kini menular ke seluruh negeri.

“Apabila kita makan nenas biasa, ia pasti ada rasa gatal tetapi baby nenas tidak.

“Ia sangat manis dan sekali makan tidak akan puas, pasti mahu makan lagi,” katanya.

Nurazizah merupakan pelanggan tetap baby nenas berkata, dia membeli baby nenas sebanyak dua hingga tiga kali sejak September lalu dengan harga RM12 mengikut paket.

Bagi Siti Bidayatul Mohd Yatim pula, keinginan merasa baby nenas itu menyebabkan dia sanggup membeli baby nenas dengan harga sehingga RM35 sekilo berbanding RM25 sekilo di pasaran.

“Memang mahal tapi sebab keinginan nak rasa baby nenas tu saya beli sahaja bukan makan selalu pun,” katanya.

Mengulas keenakan rasa baby nenas itu, Siti Bidayatul berkata, memang manis tetapi tidak boleh makan banyak kerana boleh menyebabkan lelangit menjadi pedih.

Berlainan pula dengan Siti Fatimah Arif, dia membeli baby nenas selepas terpengaruh dengan gambar-gambar viral di laman sosial.

“Saya lihat sahaja gambar baby nenas itu sudah pasti kecur air liur dibuatnya.

“Jadi saya terus beli dan selepas memakannya dan merasa sendiri rasanya. Saya puas hati,” katanya.

Namun, rasanya yang sangat manis itu menyebabkan dia tidak membelinya lagi kerana dia bukannya seorang yang suka memakan makanan yang manis.

BEKALAN SEMAKIN KURANG

Bekalan baby nenas semakin berkurangan berikutan permintaan tinggi daripada pembeli seluruh negara.

Penjual baby nenas di sekitar Klang, Wan Mahiran Wan Md Yusoff berkata, dia terpaksa memberhentikan tempahan daripada pelanggan berikutan bekalan  tidak mencukupi.

“Permintaan di kawasan ini meningkat. Setiap minggu saya mengambil bekalan baby nenas sebanyak 150 kilogram daripada pembekal di Kelantan.

“Bagaimanapun, bekalan itu tetap tidak mencukupi berikutan permintaan daripada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Dia mula menjual baby nanas sejak dua tiga bulan lalu selepas melihat ada permintaan tinggi sekitar Lembah Klang.

Katanya, pelanggannya terdiri daripada penduduk  sekitar Klang, Shah Alam dan Ampang.

Wan Mahiran yang hanya berniaga secara sambilan berkata, setiap bulan dia mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000.

“Baby nanas sememangnya dikenali di Kelantan kerana sekarang adalah musim baby nanas di Thailand.

“Mungkin dua atau tiga bulan ini, ia habis,” katanya.

Wan Mahiran menjual baby nanas ini dengan harga sekilo RM25 dan RM12 bagi tiga atau empat biji baby nanas.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.