PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Hati saya sebak apabila melihat anak sangat seronok sebaik mendapat pakaian sekolah baru dan barangan keperluan harian, sekali gus meringankan bebanan kami.”

Begitu luahan ibu tunggal, Norizan Hamid Hamzah, 38, yang tiada pekerjaan, tetapi perlu membesarkan tiga anak iaitu Shahbani Hamdan, 10; Nurul Nabila, 8 dan Shahrul Nizam, 7, selepas kematian suaminya akibat radang paru-paru tiga tahun lalu.

Norizan dari Lorong 8 Kampung Ulu, Kuala Kedah, di sini, berkata, dia berazam memberikan pendidikan terbaik untuk anaknya kerana mahu mereka menimba ilmu untuk masa depan, sekali gus berusaha keluar daripada kesempitan hidup memetik Harian Metro.

"Terima Kasih Harian Metro" - Ibu Tunggal
Norizan bersama anaknya menikmati ayam goreng yang disumbangkan Harian Metro.

Menurutnya, dia terharu menerima sumbangan barangan keperluan dan wang ringgit selain basikal serta kelengkapan sekolah daripada Harian Metro yang prihatin terhadap nasibnya sekali gus meringankan bebanannya.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro, tambahan pula saya kini tidak ada pekerjaan untuk menyara keluarga dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Anak gembira apabila ada pihak datang dari jauh membantu kami dan mereka seronok kerana dapat menikmati ayam goreng KFC yang jarang diperoleh kerana wang yang ada hanya ‘cukup-cukup makan’ saja.

“Mereka sudah lama meminta ayam goreng, tetapi disebabkan saya tidak mampu, mereka faham. Saya suka melihat senyuman mereka yang teruja ke sekolah apabila mendapat persalinan sekolah baru dan juga basikal,” katanya.

Norizan berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Othman Mamat sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2015, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati empat beranak itu tinggal di dalam rumah usang tanpa bekalan air tinggalan arwah suami dengan keadaan dinding semakin reput.

Sementara itu, Othman yang juga Pengerusi TKHM berkata, program bulanan berkenaan diadakan untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik terutama orang miskin dalam usaha meringankan beban mereka.

Menurutnya, sejak dimulakan lapan tahun lalu, program berkenaan menjelajah seluruh negara bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Bantuan kepada keluarga terbabit dibuat selepas mendapat maklumat mengenai kesusahan mereka dan pihak kami terpanggil membantu sebagai menghargai orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada Harian Metro.

“Selain itu, program TKHM 2015 Edisi Khas dengan kerjasama Tabung Bencana Media Prima-The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) juga dijangka turun padang membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Pantai Remis, Perak November ini,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.