PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

DIHITUNG dalam kiraan tahun, sudah 28 tahun seniman yang seorang ini hidup sendiri, menduda. Seorang Jaafar Onn, barangkali sudah cukup mangli untuk kekal keseorangan, tanpa belaian kasih seorang isteri sementelah kehidupan dan kerjayanya sarat dengan warna-warni. Bernikah pada 1983 dengan satu-satunya wanita yang berjaya memberikannya seorang zuriat, pada 1987 mereka bercerai lantaran tiada persefahaman.

Tampil dalam sesi fotografi Mega, sesuatu yang cukup mengejutkan apabila dia memberitahu bakal bernikah tidak lama lagi. Selepas 29 tahun, bakal bergelar suami buat kali kedua? Biar benar!

“Kalau hendak cakap jujur, memang sekarang ni kami tengah bercinta sakan,” ceritanya, sambil menahan ketawa, dalam nada malu-malu.

Dipaksa untuk terus bercerita, Jaafar tidak mampu mengelak lalu memberitahu pada mula pertemuan kami, si wanita hanya mesra memanggil dirinya dengan gelaran uncle. Pun, setelah deklarasi sebagai pasangan bercinta, panggilan berubah kepada ‘abang’, menjadi lebih mesra sebagaimana sepatutnya pasangan kekasih memetik Utusan Malaysia.

Jaafar Onn akhirnya pilih janda

“Mula-mula kita segan jugalah hendak ke tahap bercinta. Maklum sajalah, umur pun dah berapa, kan? Sangat jauh perbezaan antara kami. Bagaimanapun bila nampak macam boleh pergi jauh, kita berserah kepada Allah. Kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana. Mana tahu, selepas hidup berdua balik, boleh jadi lebih baik. Boleh sama-sama melakukan ibadah dan bina hidup baharu bersama-sama,” katanya yang enggan mendedahkan nama dan wajah wanita yang bakal dikahwini itu kerana mahu bikin ‘kejutan’ pada hari bahagia awal tahun depan.

Pun, menggariskan sekali lagi tentang fizikal bakal isterinya, Jaafar hanya memberitahu begini.

“Usianya 35 tahun, pernah berkahwin. Agak berisi sedikit orangnya dan menariknya, dia juga asal dari Johor,” demikian katanya.

Penjelasan bersambung “Kami berjumpa masa saya membuat persembahan di Kulai Jaya. Tanpa disedari, cintaku berputik dan awal 2015, saya sudah melamar dia. Seronok!

“Menariknya, terus dapat persetujuan dia dan kami ketika ini sedang dalam perancangan untuk ‘hari besar’ tidak lama lagi,” beritahunya secara eksklusif kepada Mega.

Mula membuat sedikit persiapan pernikahan, sudah banyak pihak yang sudi memberikan kerjasama untuk menaja majlis besar Jaafar Onn dan intan terpilihnya, hasil sikap pemurah kawan-kawan yang selama ini juga sering menjadi tulang belakang kebahagiaan Jaafar sendiri.

Bercakap soal cinta juga, jangan tak tahu, dalam gelaran lelaki ‘lembut’ yang melekat, banyak wanita-wanita jatuh cinta akan dirinya. Buktinya, sepanjang hampir tiga dekad keseorangan, berbaris wanita yang boleh diakui berstatus ‘kekasih’ kepada seorang Jaafar Onn. Dihitung, sekitar 10 wanita pernah menghuni pintu hati Jaafar dengan bergelar kekasih, sepanjang tempoh tersebut.

“Dan, cinta terbaru ini juga muncul selepas saya serik apabila percintaan pada 2013 dengan seorang wanita asal Perak yang terputus di tengah jalan, layu tak berkembang. Jadi, kali ini, lepas sudah betul-betul berkenan, saya mahu kerjakan perkara baik dengan segera, biarlah kali ini menjadi. Saya tidak mahu hidup sendirian selama-lamanya, biarlah tutup mata dengan ada isteri di sebelah,” demikian doanya tanpa henti.

Pernah dilamar 3,000 wanita

Beberapa tahun sudah, Utusan Malaysia pernah menulis tentang Jaafar Onn mencari jodoh di ruangan Fanpage Cari Jodoh Online. Ketika itu dia mengumumkan sedang mencari calon isteri, hasilnya, memang luar biasa hebat. Lebih 3,000 permohonan datang daripada wanita untuk mengisi kamar hatinya sebagai isteri. Ribuan yang datang itu, sukarela bersiap sedia untuk ‘memperhambakan’ diri, sehidup semati dengan lelaki ini. Namun sangat pelik kerana akhirnya tidak seorang pun daripada mereka yang ‘melekat’ dan berjaya menawan hati Jaafar.

Diajukan hal itu, Jaafar mengaku, pencarian itu bukanlah dengan niat untuk ‘menguji pasaran’ diri sendiri, sebaliknya dibuat atas dasar ikhlas untuk mencari seorang isteri sementelah disaran oleh seorang teman yang mengusahakan bisnes pencarian jodoh. Bagaimanapun, apabila menerima terlalu banyak permohonan, dia mula takut dan merubah keputusan. Apa yang dilakukan, bukanlah hal yang bakal menentukan kebahagiaan, demikian paradigma perubahan yang tercetus di benak fikirnya.

“Akhirnya kita sedar, perkara bab bernikah ini tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Kena kenal dan jatuh cinta betul-betul, barulah boleh ke fasa seterusnya. Sebab itu, dalam 3,000 permohonan nak ajak bernikah itu, tidak ada satu pun yang lepas kerana cinta yang asal itu tidak hadir, macam mana hendak bernikah?

“Berbeza dengan pilihan saya sekarang ini. Kami memang berjumpa secara tidak sengaja, sama-sama suka dan jatuh cinta. Kemudian kami pelihara perasaan suka dan kasih sayang itu dengan baik, kemudian ambil keputusan untuk bernikah,” katanya lagi yang mengaku tidak serik untuk kembali bergelar suami orang.

Bersikap mudah mesra dengan banyak orang, tidak hairan apabila Jaafar sering saja dilamar oleh wanita, sebagaimana pepatah ‘perigi mencari timba’. Malah, dalam banyak acara masakan yang dia hadiri, bukan sesuatu yang luar biasa jika ada wanita tanpa segan, tanpa silu berbisik ke telinga, mengajak dia untuk berkahwin.

“Memang boleh dikatakan, setiap bulan saya dilamar oleh beberapa wanita berbeza. Setiap kali turun buat demo masakan di mana-mana sahaja, seluruh negara akan ada yang mendekati dan bertanya soalan nakal ‘Tak nak ambil kita jadi orang rumah ke?’ Memang akan ada saja yang datang dan offer diri untuk jadi isteri Jaafar Onn.

“Memang kelakar. Sampai sanggup hendak bagi macam-macam hantaran. Bagaimanapun, saya sudah tua. Saya ambil lamaran mereka sebagai sesuatu yang tidak serius dan anggap mereka sebagai peminat. Itu lebih mudah,” katanya dalam ketawa.

Dikasihi, dicintai oleh banyak wanita, Jaafar merasakan dirinya cukup bertuah. Tidak banyak musuh, kurang menyakiti hati orang lain, itu menjadi resipi paling terbaik kenapa dan mengapa dia sentiasa disayangi banyak orang di mana sahaja berpergian.

“Ke mana sahaja pergi, berjalanlah dengan hati yang bersih, hormat orang dan sayangkan semua insan ciptaan Allah. Satu lagi, jangan kedekut, jangan cerewet, keluarkan duit untuk bantu orang sebab itu bukan duit kita. Apa yang disedekahkan itulah duit kita di akhirat nanti. Tak kira apapun, Allah akan membalas apa juga kebaikan yang kita buat. Hati kena ikhlas,” katanya, berkongsi rahsia positif diri.

Sedang dalam 
proses rakaman album Tribute to Sharifah Aini. 25 lagu dirakamkan dengan artis perempuan, antaranya Rohana Jalil, Salwa, Maya, Haiza dan Hazlina Kamsan.

Bergelar duta produk V Asia dan sering membuatkan dia berkeliling ke seluruh negara mempromosikan produk tersebut.

Sedang rancak dengan persiapan menjayakan kerja amal pada Disember depan 
bersama team Mekah Fund.

Penyanyi Haiza 
dan Maya (Matahari) sudah dianggap seperti anak sendiri dan selalu bergerak bersama Jaafar dalam industri.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.