PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memerlukan lebih dari RM1 bilion setiap tahun untuk memenuhi permintaan daripada umat Islam di Malaysia yang semakin meningkat dan untuk memerangi golongan yang menafikan Islam sebagai agama persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian sebagai respons kepada satu artikel oleh sebuah portal tempatan, yang mendedahkan bahawa badan agama itu telah membelanjakan hampir RM1 bilion tahun ini memetik Mstar.

Asyraf Wajdi dedah Jakim patut dapat lebih dari RM1 bilion setahun

Katanya, RM1 bilion tidak mencukupi kerana lebih banyak dana diperlukan bagi pegawai-pegawai dan guru-guru agama memandangkan tugas untuk melindungi agama menjadi lebih mencabar berikutan ‘ideologi melampau’ yang semakin meluas.

“Pelbagai ideologi ekstremisme mula mengakar termasuklah ideologi radikal seperti IS, ideologi liberalisme, pluralisme termasuklah LGBT yang melonggarkan dan meremehkan agama,” katanya dalam laman Facebooknya, Isnin.

Selain menguruskan elaun lebih 30,000 guru Kafa dan lebih 15,000 imam di seluruh negara, beliau berkata, peruntukan untuk Jakim adalah relevan.

“Jumlah peruntukan Jakim dilihat relevan malah sebenarnya tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam.

“Justeru, kita berterima kasih kepada mereka yang membangkitkan isu ini yang mana dapat membuka mata Kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukan Jakim pada tahun hadapan bagi menampung keperluan yang semakin kritikal khususnya dalam menangani golongan yang cuba menafikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

“Sudah tentulah peruntukan hampir RM1 bilion tidak mencukupi bahkan perlu ditambah melebihi nilai tersebut,” katanya.

Dr Asyraf Wajdi juga menjelaskan mengenai kewujudan Jakim, mengatakan bahawa penubuhannya bermula daripada unit kecil dibawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1968 yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Kemudian ia dinaikkan taraf kepada sebuah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) dan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jakim.

“Maknanya kewujudan Jakim adalah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan menjadi sekretariat penyelaras hal ehwal agama Islam kepada MKI.

Dr Asyraf berkata Jakim menzahirkan kewajipan dan tanggungjawab pemerintah terutamanya kuasa eksekutif untuk melaksanakan sumpah Yang Dipertuan Agung dan perkara 3 (1) Perlembagaan negara iaitu Islam merupakan agama persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.