PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

SATU rakaman video berdurasi selama 2:18 minit memaparkan mengenai bahaya dan risiko menggunakan telefon pintar jenis Samsung yang didakwa mampu menyimpan serta mencuri data pengguna menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran sesetengah pihak.

Melalui rakaman berkenaan, pemilik video mendakwa, terdapat cip pengintip yang dipasang di belakang bateri Samsung tersebut untuk mengintip apa yang dilakukan penggunanya termasuk mengesan data, video dan apa saja yang dimuat turun pengguna dari dalam telefon tersebut memetik Sinar Harian.

Cip pengintip yang didakwa itu adalah AUTA semata-mata.

Penjelasan isu cip pada bateri Samsung curi data

FAKTA

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Khirul Nizam Abd Rahman memaklumkan bahawa tayangan klip video berkenaan adalah berkemungkinan tidak benar memandangkan cip tersebut dikenali sebagai antenna Near Field Communication (NFC).

Menurut beliau, NFC berfungsi bagi membolehkan pengguna bertukar data atau maklumat dengan peralatan lain yang turut mempunyai teknologi berkenaan seperti telefon pintar dan sebagainya.

Selain itu, Khirul memaklumkan bahawa NFC juga berfungsi sama seperti teknologi Bluetooth di mana pengguna perlu mendekatkan telefon pintar bagi membolehkan berlakunya pertukaran data serta ianya memerlukan kebenaran daripada pengguna terlebih dahulu.

Tambahnya, masyarakat tidak perlu gusar memandangkan kecurian data dengan menggunakan NFC adalah mustahil sama sekali, namun mereka perlu berjaga-jaga kerana pada masa kini, terdapat pelbagai aplikasi yang ditawarkan kepada orang ramai bagi tujuan untuk mencuri maklumat pengguna lain.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.