PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kementerian Kesihatan sedang mengkaji keperluan untuk mengenakan cukai eksais terhadap rokok elektronik termasuk vape bagi menghalang ia daripada menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kajian terhadap keperluan itu disebabkan perisa yang terkandung dalam cecair rokok elektronik mempunyai nikotin yang merupakan bahan terkawal memetik Bernama.

Vape bakal dikenakan cukai eksais - KKM

“Kalau e-cigarette (e-rokok) yang mempunyai nikotin, kami mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memberi layanan kepada e-cigarette sama macam rokok, bermakna kalau rokok dikenakan cukai eksais, e-cigarette pun kena cukai eksais, tapi itu kami sedang kaji dari segi undang-undang.

“Nikotin ialah bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952. Sesiapa yang menjual nikotin perlu memohon permit daripada biro farmasi, jadi jika tiada permit ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dr. Subramaniam berkata perkara itu juga bagi menghalang budaya vape menggantikan budaya menghisap rokok selepas kementerian ‘berperang’ berpuluh tahun untuk menangani isu me­rokok.

“Dalam masa hanya setahun, pengguna e-cigarette dan vape telah meningkat dengan ketara. Kini terdapat lebih satu juta pengguna. Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau merujuk sebuah video yang menjadi viral di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki menawarkan rokok elektronik kepada kanak-kanak berusia tiga tahun.

Dr. Subramaniam berkata kementeriannya bertanggungjawab untuk menghantar mesej tegas bahawa rokok elektronik boleh membawa kesan buruk dalam jangka panjang ke atas kesihatan manusia.

“Mesej kami adalah mudah. Kami mahu menghentikan rakyat Malaysia daripada vaping sama ada terdapat larangan atau tidak. Mungkin kesannya tak nampak hari ini tapi nampak dalam lima atau 10 atau 15 tahun lagi,” katanya.

Awal minggu ini, Dr. Subramaniam dilaporkan telah mengarahkan kementeriannya untuk mengambil tindakan ke atas peniaga perisa vape yang mengandungi nikotin, kerana ia adalah bahan terkawal.

Sementara pada Selasa, kerajaan menaikkan cukai eksais rokok yang menyaksikan sesetengah jenama mengalami kenaikan daripada RM13.80 kepada RM18 sekotak.


Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.