PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kerajaan Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri ini selesai, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan memetik Bernama.

Tarif Air Selangor Tetap Akan Naik

“Pasti akan ada kenaikan tarif air ini kerana kos bagi proses pengambilalihan itu adalah untuk memastikan perkhidmatan air berkualiti dan efektif.

“Bagaimanapun kita jamin kenaikan tarif ini tidak akan membebankan rakyat negeri Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) berkaitan kenaikan tarif air di Selangor.

Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri telah menawarkan RM250 juta kepada SPLASH namun jumlah tersebut ditolak syarikat berkenaan.

“Tempoh rundingan untuk pengambilalihan SPLASH akan berakhir September 2016 dan kerajaan negeri akan pastikan proses tersebut selesai dalam tempoh tersebut.

“Berhubung perkara itu, kerajaan negeri telah melantik penilai bebas untuk melihat apa nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air berkenaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kos pengambilalihan tiga syarikat konsesi lain adalah berjumlah RM1.68 bilion yang mana Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sebanyak RM1.07 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (RM0.52 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (RM0.09 bilion).

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.