PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

PEMANDANGAN di mana kanak-kanak dilihat mengetuk tingkap kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk meminta sedekah adalah perkara biasa di jalan-jalan berhampiran terminal bas Klang Utara di Klang.

Tinjauan StarMetro mendedahkan terdapat kira-kira 20 orang pengemis kanak-kanak Rohingya di kawasan itu.

Mereka dilihat bergerak di sepanjang Jalan Pos, Jalan Raja Hassan dan Bulatan Seratus di Persiaran Sultan Ibrahim dan di kaki lima jalan-jalan tersebut memetik MStar.

Giliran generasi baru mengemis
Tiba Giliran Generasi Baharu Keluar Mengemis

Jumlah trafik yang sering tinggi dan kesesakan di sepanjang jalan berkenaan telah menyebabkan ia menjadi sasaran kanak-kanak yang mengemis.
Beberapa kanak-kanak dikesan berada di kawasan itu seawal 8 pagi pada hari bekerja manakala yang lain-lain akan muncul tidak lama kemudian.

Mereka akan berjalan dari satu kenderaan ke kenderaan lain yang sedang berhenti sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

‘Skrip’ rayuan yang biasa digunakan mereka untuk meraih simpati adalah: “Tolong, encik, saya orang susah. Tolong bagi duit, Saya nak duit untuk makan.”
Walaupun kebanyakan pengguna jalan raya mengabaikannya, ada juga yang menghulurkan antara RM1 dan RM5 kepada mereka.

Kini tiba giliran generasi baru keluar mengemis
Seorang ibu bersama dua anaknya dilihat sedang mengemis  di kaki lima di Klang.

Kanak-kanak terbabit boleh mengumpul di antara RM50 dan RM100 dalam sehari pada hari bekerja, dan lebih dari RM100 pada hujung minggu dan cuti umum.

Selain itu, mereka juga sering dilihat di kaki lima untuk meminta sedekah daripada pejalan kaki.

Bimbang kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa, kanak-kanak ini akan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Mereka kelihatan seperti mempunyai rangkaian komunikasi yang kuat kerana cenderung untuk ‘hilang’ selama beberapa jam atau sehari suntuk jika mereka mengesyaki pihak berkuasa berada di kawasan itu.

Malah, sesetengah daripada mereka, biasanya yang lelaki akan menghamburkan kata-kata kesat terhadap orang awam yang dianggap cuba ‘mengancam’ kegiatan mereka.

Pelarian Rohingya di kawasan itu telah berjaya mengekalkan ‘perdagangan’ ini dalam keluarga untuk tempoh sekurang-kurangnya empat generasi.
Kebanyakan keluarga pelarian ini pertama kali datang ke Malaysia pada tahun 1970 kerana ketidakstabilan politik di tanah air mereka.

Kini, keluarga-keluarga ini telah mengemis selama hampir setengah abad.

Kini tiba giliran generasi baru keluar mengemis
Perhentian bas menjadi kawasan tumpuan pengemis muda.

Dalam situasi terdesak untuk meneruskan kehidupan, anggota masyarakat ini, terutama wanita, mendapati bahawa mengemis adalah cara yang paling mudah untuk memenuhi keperluan.

Dengan meletakkan bayi di pangkuan mereka, ibu-ibu akan mengemis di tempat-tempat strategik, seperti di terminal bas Klang Utara di Jalan Pos serta kaki lima di kawasan itu.
Seorang peniaga kecil-kecilan berusia 63 tahun yang telah berniaga di gerai minuman di Jalan Pos selama lebih 40 tahun berkata, suatu masa dulu si ibu telah mengemis di kawasan itu dan kini tiba giliran anak-anak mereka untuk meneruskannya.

“Apa yang anda lihat sekarang adalah anak-anak kepada generasi yang lebih tua yang sudah meninggal dunia atau terlalu tua untuk mengemis.

Kini tiba giliran generasi baru keluar mengemis

“Ada juga yang memerhatikan anak-anak mereka dari jauh.

“Selepas dapat mengumpulkan sedikit wang, kanak-kanak ini akan menyerahkan hasil yang diperoleh kepada ibu-ibu mereka yang menunggu di kawasan berhampiran,” katanya.

“Ia adalah satu usaha berpasukan – ibu-ibu mereka tidak benar-benar ‘bersara’ daripada kegiatan ini.

“Mereka juga sedar bahawa kanak-kanak lebih mudah mendapatkan lebih banyak wang daripada orang ramai.

“Mereka lebih suka membiarkan anak-anak mereka melakukan kerja,” katanya sambil menambah orang ramai lebih bersimpati terhadap kanak-kanak.

Walaupun pengemis yang lama telah “bersara” dari kegiatan ini,  ibu-ibu muda yang mengemis bersama anak-anak mereka adalah perkara biasa di sepanjang Jalan Raja Hassan dan kawasan-kawasan strategik yang lain termasuk di laluan bawah di Persiaran Sultan Ibrahim.

Pekerja sosial A. Devadass, yang telah membuat pemerhatian terhadap kegiatan masyarakat Rohingya di Klang selama lebih dari tiga dekad berkata dia sudah mengenali keluarga-keluarga pengemis ini.

Tambahnya, mudah untuk kanak-kanak ini mengambil alih aktiviti ini selepas dilatih dan melihat ibu mereka melakukannya sejak awal usia.

“Mereka akan diiringi oleh ibu-ibu mereka di peringkat awal, dan kemudian oleh adik-beradik yang lebih tua sebelum mereka mula mengemis secara bersendiri,” kata Devadass, yang juga Presiden Persatuan Pengguna Klang.

Kini tiba giliran generasi baru keluar mengemis

Kanak-kanak lelaki, katanya, akan beralih mencari pekerjaan lain apabila remaja manakala kanak-kanak perempuan sering berkahwin pada usia muda, kebanyakannya dengan lelaki dari masyarakat Rohingya sendiri.

“Biasanya perkahwinan mereka tidak bertahan lama dan mereka yang bergelar ibu tunggal akan kembali ke jalanan untuk meminta sedekah bagi memberi makan kepada anak-anak mereka,” katanya sambil menambah kitaran seperti ini akan berterusan.

Seorang pengemis yang juga ibu kepada tiga orang anak berusia antara dua dan tujuh tahun berkata dia tidak mempunyai cara lain untuk meneruskan kehidupan.

Wanita itu, yang berusia awal 20-an berkata dia telah berpisah dengan suaminya dan tidak dapat mencari kerja kerana status pelarian.

“Saya dan anak-anak tinggal dengan keluarga di Jalan Meru untuk sewa yang sangat murah.

“Tuan tanah sangat membantu,” katanya, sambil menambah dia mengumpul purata RM50 setiap hari.

Seorang lagi wanita, yang mengemis di bawah Jambatan Musaeddin di Jalan Raja Hassan dengan dua orang anaknya mengaku dirinya adalah pelarian Rohingya tetapi enggan memberikan apa-apa maklumat lanjut.

Kini tiba giliran generasi baru keluar mengemis

Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor berkata mereka menyedari kehadiran pengemis Rohingya di kawasan itu dan telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Banyak operasi bersama telah dijalankan di kawasan itu.

“Kami telah menyerahkan sebilangan kanak-kanak dan ibu-ibu mereka kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) selepas mereka ditangkap mengemis di jalan raya,” katanya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.