PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

SAYA terpanggil untuk menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia Armand Azha Hj Abu Hanifah yang mengkritik tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan isu vape.

Kenyataan beliau itu mencipta persepsi seolah-olah KKM membuat keputusan kerana ada agenda tangan-tangan ghaib. Saya tidak tahu siapakah yang dimaksudkan dengan tangan-tangan ghaib tersebut.

Kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Dr Lokman Hakim dan Datuk Dr Abdul Razak mewakili bagi pihak Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengeluarkan kenyataan akhbar dalam isu kawalan tembakau, e-rokok dan vaping sudah jelas.

Ia satu keputusan yang telah dibuat berdasarkan pandangan kesihatan semata-mata.

Datuk Dr Abdul Razak adalah Pakar Perunding Perubatan Respiratori dan juga Ketua Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur. Beliau merupakan rujukan kesemua pakar-pakar perubatan respiratori di Malaysia dan suara beliau membayangkan kesatuan para doktor dalam isu vape/ e-rokok.

KKM pilih kasih dalam isu vape dan rokok?
Keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia tentang isu vape berpandu hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan jurnal perubatan dunia.

Datuk Dr Lokman Hakim pula adalah seorang Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan juga Pakar Kesihatan Awam.

Bermaksud beliau adalah antara penjawat awam tertinggi yang berkhidmat di KKM.

Ini adalah pandangan ‘top doctors’ di Malaysia. Keputusan mereka adalah berpandu kepada hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jurnal-jurnal perubatan dunia berautoriti lain yang begitu banyak membangkitkan isu vape dengan penagihan nikotin, penyalahgunaan alat vape untuk menghisap dadah tanpa dikesan serta kesan jangka panjang vape yang mengandungi formaldehyde yang diketahui merupakan agen karsinogenik yang boleh mengakibatkan kanser.

Rokok sudah berada lebih dari 100 tahun dan dipasarkan secara bebas di dunia. Ia telah wujud sebelum sebuah negara bernama Malaysia dilahirkan.

Satu ketika dahulu, para doktor sendiri tampil sebagai model iklan rokok dengan mengesyorkan brand rokok tertentu berbanding dengan yang lain.

Ia merupakan satu kesilapan besar kerana kesan jangka panjang rokok terhadap kesihatan seperti pelbagai jenis kanser, penyakit jantung dan kardiovaskular lain serta seribu satu macam penyakit lain hanya diketahui selepas beberapa dekad dari penggunaan rokok.

Kesan rokok ini terasa hingga kini apabila hampir saban hari pesakit-pesakit hadir ke hospital akibat penyakit yang berkaitan dengan rokok ini. Ia merupakan satu perbuatan yang menzalimi diri sendiri, memberikan impak kepada kos kesihatan dan merugikan wang negara.

Rokok sudah bertapak lama dan membudaya hingga kita tidak ada ‘political will’ untuk menghentikannya kini.

Adakah kita mahu menambah satu lagi masalah dengan vape/e-rokok pula?

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jangan apabila nasi sudah menjadi bubur, baru kita menyesal. Jangan kerana perjuangan berlandaskan nafsu, maka kita mengaut dosa kerana turut serta merosakkan generasi manusia di negara kita.

Api apabila dalam keadaan mancis mudah untuk dipadamkan dengan hanya meniupnya. Tetapi jika ia sudah marak seperti kebakaran di hutan, amat sukar untuk kita mengawalnya malah mencetuskan krisis kesihatan dengan jerebu kepada umat terbanyak yang tidak berdosa.

Begitulah isu e-rokok ini.

Ia menambahkan jumlah penagih nikotin dan malah membudayakan perbuatan ini sebagai aspirasi anak muda hingga kanak-kanak dan wanita muda juga menggunakannya. Apakah yang sedang kita cuba lakukan? Ia patut disekat pada peringkat awal ini sebelum terlambat.

Nikotin adalah merupakan antara dadah yang termaktub di bawah Akta Racun. Membenarkan penggunaannya untuk menghasilkan liquid vape oleh orang ramai akan mendedahkan manusia kepada bahaya.

Siapa tahu apa kandungan spesifik liquid tersebut? Justeru itu, nikotin perlu dikawal selia oleh badan profesional seperti jabatan farmasi bagi mencegah penagihan dan penyalahgunaan.

Di Amerika Syarikat, vape digunakan untuk menghisap Flakka iaitu sejenis dadah sintetik yang berbahaya dan mempunyai kesan halusinogen dan menghilangkan pertimbangan akal yang waras. Siapa tahu apakah Flakka, ganja dan lain-lain najis dadah dimasukkan di dalam liquid vape sekarang ini? Itulah sebabnya kita perlu mencegah penjualan nikotin secara bebas tanpa peraturan seperti sekarang.

Saya kecewa melihat Pemuda UMNO memperjuangkan isu e-rokok ini sebenarnya. Ia seolah-olah menggambarkan Pemuda memperjuangkan kerosakan dari kaca mata saya sebagai seorang doktor.

Saya melihat setiap hari kesan penagihan dadah dan kesan kerosakkan rokok terhadap pesakit-pesakit saya. Tidak adakah agenda yang lebih baik yang boleh diperjuangkan pemuda? Vape bukan aspirasi anak muda! Ia adalah aspirasi penagih muda sebenarnya.

Keputusan KKM untuk merampas cecair nikotin adalah tidak membelakangkan kabinet kerana KKM hanya menggunakan peruntukan Akta Racun sedia ada yang termaktub dalam undang-undang negara.

Apakah Pemuda tidak mahu menghormati undang-undang? Apakah mesej yang cuba disampaikan?

Keputusan KKM berkenaan isu ini adalah telus berdasarkan pandangan kesihatan dan perubatan semata-mata. Tolong jangan tuduh kami bermain politik kerana kami hanya penjawat awam yang melihat isu ini dari aspek kemudaratan kesihatan semata-mata.

Keputusan YB DS Subramaniam adalah keputusan yang berani yang mencerminkan hasrat para doktor dan warga KKM sebenarnya.

Mencipta persepsi bahawa syarikat gergasi rokok menjadi tangan-tangan ghaib dalam menentukan dasar dan tindakan sebuah kementerian yang terdiri daripada doktor-doktor profesional seperti KKM dalam isu ini adalah tidak patut dan lebih hampir kepada fitnah. Tolong hentikan perbuatan ini melainkan anda boleh mendatangkan bukti.

Apakah selepas ini Pemuda UMNO akan menuduh pula Majlis Fatwa dan mufti-mufti tunduk kepada syarikat gergasi rokok selepas ini dengan mengambil kira ramai para mufti yang sudah menyuarakan pandangan untuk mengharamkan e-rokok/vape?

Dr Abdul Rahman bin Abdul Kadir merupakan Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma.

(Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.