PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Vapor Malaya (VM) hari ini mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf secara terbuka kepada komuniti rokok elektronik di negara ini.

Penyelaras SAMM Rembau, Akmal Noradzmi Abdul Rahim berkata tindakan itu perlu bagi memulihkan semula imej komuniti vape khususnya yang terlibat dalam rampasan cecair perisa sejak awal bulan ini memetik Sinar Harian.

SAMM desak KKM mohon maaf dan pulangkan balik barangan vape yang dirampas

“Serangan demi serangan yang telah dilakukan oleh KKM tanpa mengira sensitiviti komuniti vape di Malaysia.

“KKM secara jelas telah bertindak terburu-buru dan angkuh hingga membelakangkan keputusan mesyuarat Kabinet yang tidak mengharamkan penggunaan vape di Malaysia,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada ibu pejabat KKM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, tindakan boleh dikenakan kepada mereka terlibat menjual cecair bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik.

Katanya, kementerian mempunyai kuasa untuk merampas produk yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.

Mengikut Akta, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilang, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.

Selain memohon maaf, Akmal Noradzmi juga mendesak KKM memulangkan semula segala barangan vape yang dirampas dari premis-premis susulan kerajaan masih gagal menyediakan garis panduan kepada pengusaha.

“Kami mendesak menyediakan saluran yang betul kepada semua peniaga vape bagi menepati piawaian yang sewajarnya,” ujarnya.

Kata Akmal Noradzmi lagi, pihaknya turut menolak cadangan KKM supaya cecair perisa vape dibenarkan dijual di farmasi.

“Sikap KKM dalam menentang vape dilihat sebagai satu diskriminasi kepada komuniti vape kerana membelakangkan fatwa bahawa rokok dan arak lebih berbahaya daripada vape,” katanya lagi.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.