PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Pemegang rekod acara 100 meter baharu negara, Badrul Hisyam Manap berpotensi untuk menjadi raja pecut peringkat dunia jika diberi peluang berlatih dan bertanding di luar negara.

Pemegang lama rekod acara pecut negara dengan catatan 10.30 saat, Watson Nyambek berkata catatan masa 10.29 saat pelari berumur 18 tahun kelahiran Melaka pada Sukan Sekolah ASEAN di Bandar Seri Bagawan semalam merupakan pencapaian luar biasa pada usianya memetik Astro Awani.

Rekod dipecahkan Badrul Hisham, ini komen Watson Nyambek
Badrul Hisyam meleburkan rekod acara 100m yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun, pada hari pertama Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei semalam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya mencipta rekod baharu 100 meter. Dia boleh pergi lebih jauh dan saya percaya beliau boleh berlari dalam catatan masa kelas dunia di bawah 10 saat, mungkin menyamai rekod Olimpik atau dunia jika mendapat latihan yang betul,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Watson yang mencatat rekod acara perut negara pada 1998 berkata Badrul memerlukan latihan yang baik, selain makanan supplemen yang baik untuk tubuh badannya serta jurulatih yang memahami sains sukan acara pecut.

Beliau berkata pencapaian pelari muda itu akan merangsang acara balapan pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan yang diadakan di Sarawak.

“Pencapaian beliau akan menarik lebih ramai penonton dan menjadi cabaran kepada atlet-atlet muda yang sedang meningkat di negara ini,” jelasnya.

Menurut Watson, 39, beliau bertemu Badrul pertama kali di Sibu pada September lalu dalam satu acara sukan dan memuji sikap rendah diri atlet remaja itu.

Beliau yang kini jurulatih atlet-atlet muda Flying Dayak Club yang ditubuhkan September lalu turut merayu kepada kerajaan negeri memberikan pengiktirafan lebih baik kepada atlet kelahiran Sarawak yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Malah saya sendiri tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri selepas bersara, saya kecewa sehingga hari ini,” katanya.

Beliau menegaskan jika arah aliran itu berterusan, pembangunan sukan di negeri ini tidak akan mencapai kemajuan kerana kerajaan negeri enggan menjaga kebajikan para atlet dan bekas atlet.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.