PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel H. Kiram menguris perasaan rakyat Sabah, khususnya penduduk di pantai timur negeri itu yang digemparkan dengan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Presiden Persatuan Suku Kaum Banjar Tawau, Badrianshah Mohd Hamdi berkata, tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menunjukkan Nurul Izzah menghalalkan perbuatan Jamalul Kiram III yang bertanggungjawab mengarahkan pencerobohan yang telah mengorbankan anggota keselamatan negara memetik Bernama.

Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel H. Kiram, penceroboh Lahad Datu

“Kita sebagai rakyat Sabah, khususnya di pantai timur mengutuk tindakan Nurul Izzah yang tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat di sini.

“Tindakan itu perlu dikecam kerana ia seolah-olah tidak menghormati anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jacel memuat naik empat gambar bertarikh 9 November dalam akaun facebook beliau yang memaparkan pertemuan dengan Nurul Izzah.

Pada masa sama, Badrianshah berkata pihaknya bersetuju dengan gesaan beberapa pihak yang meminta kerajaan negeri mengharamkan kemasukan Nurul Izzah ke Sabah.

“Ia bertepatan demi menjaga perasaan rakyat Sabah yang telah terguris dengan tindakannya. Selain itu kita berharap Nurul Izzah memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Perpaduan Islam Sabah (PPIS), Ahdie Dodds berkata, pihaknya turut kecewa dengan tindakan Nurul Izzah bertemu Jacel baru-baru ini, dan berharap beliau akan segera memohon maaf.

“Walau apa sahaja tujuan Nurul Izzah berjumpa Jacel, ia tetap membuatkan rakyat sakit hati kerana Jacel turut menyokong insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu itu,” katanya.

Ahdie berkata, pihaknya juga menyokong sekiranya kerajaan negeri mengharamkan kemasukan Nurul Izzah ke negeri ini.

(Update: Penjelasan Nurul Izzah isu berjumpa waris pengganas Lahad Datu, Jacel Kiram)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.