PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Tidak dapat dinafikan, ramai yang kecewa apabila Sultan Johor mengumumkan mengharamkan vape di negeri itu. Peniaga vape pastinya orang yang paling kecewa.

Terbaharu, seorang rakyat Johor, Eddie Putera telah tampil meluahkan rasa hatinya mengenai isu ini. Baca luahan hati Eddie di bawah ini.

Sultan Haramkan Vape, Ini Luahan Rakyat Johor

Ampun Tuanku,

Kami rakyat, Tuanku Sultan. Tuanku kaya raya, kami miskin hina. Apa Tuanku cakap, kami kena terima. Apa kami cakap, belum tentu Tuanku terima.

Tuanku suka kereta dan Tuanku boleh beli apa saja kereta yang Tuanku suka sebab Tuanku kaya. Anakanda Tuanku punya birthday, Tuanku boleh belikan dia kapal terbang sebab Tuanku kaya raya.

Kami rakyat, nak beli kereta mainan pun belum tentu mampu. Kami tak persoalkan hak Tuanku sebab itu wang Tuanku, hak Tuanku. Kami juga tahu nilai diri kami dan hidup ala mampu kami.

Ampun Tuanku,

Sekarang Tuanku benci vape, Tuanku ada kuasa mahu kasi ban. Itu hak Tuanku sebagai raja. Tetapi hak kami bagaimana pula? Hidup kami sudah cukup dibelenggu  dengan bermacam-macam halangan. Hidup kami sudah cukup melarat mencari wang makan untuk hidup. Ini bukan soal bangsa atau soal agama atau soal undang-undang. Ini soal sedikit peel nakal kami mahu menghisap vape. Sedikit habit buruk yang kami simpan untuk mendapat sedikit hiburan bagi mencari ketenangan diri. Sedikit ruang untuk menjadi agak tidak sihat dan tidak baik untuk diri.

Kami bazirkan sedikit wang yang kami susah payah cari ini untuk tabiat hina ini. Hanya untuk mencari sedikit ruang untuk melepaskan rimas hidup. Itu pun nampaknya sudah tidak boleh lagi.

Kami tidak mencuri, kami tidak derhaka pada Sultan, kami ikut undang-undang, kami tidak pergi berhibur di karaoke cari GRO, kami tidak pergi rumah urut melanggan pelacur, kami tidak pergi pub minum arak, kami tidak pergi kedai Toto beli nombor ekor. Kami hanya rosakkan kesihatan kami dengan sedikiit wap vape.

Jika itu pun mahu dihalang, maka apa lagi yang tinggal pada kami ini?

Ampun Tuanku,

Saya lafazkan ucapan tanda hormat saya sebagai seorang rakyat turun temurun sejak kesultanan Melayu, dari saya sebagai rakyat kepada Tuanku, sebagai Sultan. Walaupun jauh di sudut hati, saya sendiri tidak tahu apa sebab saya perlu mohon keampunan ini. Wsalam.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.