PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan pertuduhan dihadapi bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang adalah tidak mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen kerana kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Khairuddin dan Matthias dilepaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin memetik Berita Harian.

Tuduhan terhadap Khairuddin, Matthias tidak mengikut SOSMA - Mahkamah Tinggi

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547), yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid serta ahli keluarga Khairuddin dan Matthias.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daun memberitahu mahkamah, pendakwaan kemungkinan besar akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim menetapkan 12 Januari tahun depan bagi pengurusan kes sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.

Isteri Khairuddin, pelakon Datin Seri Umie Aida membayar jaminan manakala adik Chang membayar jaminan bagi pihak Chang.

Mereka ditahan di Balai Polis Dang Wangi dan di Penjara Sungai Buloh lebih dua bulan.

Kedua-duanya memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka tidak tertakluk di bawah SOSMA dan sehubungan itu memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan.

Dalam Keputusannya, Mohd Azman berkata kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak boleh dibaca bersama SOSMA.

Beliau menjelaskan SOSMA digubal mengikut Perkara 149(1) Perlembagaan Persekutuan dengan enam Resital yang mempunyai ciri-cirinya sendiri untuk dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam.

“Walau bagaimanapun resital SOSMA hanya menetapkan empat daripada enam resital, tidak termasuk Resital (e) berkaitan perkhidmatan perbankan dan kewangan,” katanya.

Hakim juga berkata beliau berpandangan dengan ketiadaan Resital (e), Parlimen tidak pernah bercadang untuk memasukkan perkhidmatan perbankan dan kewangan ke dalam Resital SOSMA 2012.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali juga turut hadir di mahkamah.

Pada 13 Oktober, Khairuddin dan Chang memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah SOSMA dan memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan.

Pada 19 Oktober, Mohd Azman merujuk kes mereka ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu perlembagaan pertuduhan itu dan pada 3 November, Mahkamah Persekutuan menyerahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan mahkamah itu memutuskan sama ada pertuduhan Khairuddin dan Chang tertakluk di bawah SOSMA.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa langkah Mahkamah Tinggi merujuk persoalan perlembagaan itu adalah tidak kompeten kerana tidak memenuhi ketetapan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Di luar mahkamah, Dr Mahathir ketika ditanya pemberita berhubung keputusan itu berkata ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.

Sementara itu, Umie Aida berkata beliau bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.