PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S Subramaniam perlu menanggung semua kerugian yang dialami oleh pengusaha dan perniaga vape yang terlibat dengan operasi yang dilakukan baru-baru ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pihaknya sangat terkilan dengan tindakan dan perlaksanaan terburu-buru Kementerian Kesihatan yang menyerbu premis vape memetik Astro Awani.

Datuk Dr Najmil kata Subramaniam kena tanggung kerugian peniaga vape
Kata Dr Najmil (gambar kecil), operasi yang dijalankan Kementerian Kesihatan menyebabkan peniaga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

“Ia tindakan yang tidak wajar. Kementerian Kesihatan sepatutnya mengkaji mekanisma yang terbaik sebelum mengambil apa-apa tindakan. Sebarang langkah tergesa-gesa hanya menimbulkan kemarahan khususnya golongan muda.

“Pelbagai aspek perlu difikirkan sebelum sesuatu tindakan diambil memandangkan ia melibatkan penguna yang terdiri dari pelbagai latar belakang selain populasi vape semakin besar dan berkembang,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Khamis, KKM sudah memulakan operasi merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.

Terdahulu, S. Subramaniam berkata, pihaknya telah diarah untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat menjual cecair bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape.

Katanya, kementerian mempunyai kuasa untuk merampas produk yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.

Mengikut Akta, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilang, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.

Dalam pada itu kata Dr Najmil, operasi yang dijalankan Kementerian Kesihatan menyebabkan peniaga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

“Rampasan yang dibuat tanpa amaran dan perbincangan ini menyebabkan ramai usahawan Melayu yang baru saja terlibat dengan perniagaan secara runcit mahupun online mengalami kerugian besar.

“Kami minta S Subramaniam bertanggungjawab di atas segala kerugian. Kita juga mohon kerajaan mengkaji dan mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan memandangkan perkara seumpama ini boleh mengundang rasa tidak puas hati rakyat terutamanya golongan muda.

“Ia akan memberi kesan terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana impak paling besar diterima oleh parti UMNO dan sokongan anak muda terhadap UMNO akan berkurang kerana kecewa dgn tindakan kerajaan, walaupun tindakan tersebut dibuat oleh menteri dari MIC,” jelasnya.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.