PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Dikala remaja lain seusia dengannya pergi ke sekolah menimba ilmu tanpa perlu memikirkan tanggungjawab berat di rumah, namun tidak bagi Mohamad Idham Mohd Nor, 16, ini kerana beliau sanggup mengorbankan zaman persekolahannya demi menjaga ibu tercinta.

Beliau yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas, mengakui rekod kedatangannya ke sekolah tidak cantik kerana hanya memasuki kelas tiga kali dalam seminggu.

Ini kerana, baginya yang merupakan anak sulung dari dua adik beradik, menjaga ibu yang sudah 6 bulan terlantar adalah lebih penting kerana tanggunjawabnya sebagai ketua keluarga.

Demi jaga ibu yang koma, Pelajar ini sanggup ponteng sekolah
Pelajar tingkatan 4 sanggup ponteng sekolah demi jaga ibu yang koma

Ibunya, Zabidah Mat Hasshim, 53, yang sudah bercerai dengan bapanya sejak 10 tahun lalu.

“Tak mungkin saya abaikan Ma (panggilan untuk ibu). Kami sudah tiada sesiapa, Ma sahaja yang ada.

“Saya dan adik, Zanatul Nor Afini, 11, terlalu rindu untuk bermesra dengan Ma. Tetapi, hanya ayat ‘Ma letih, nak berehat sebentar’ yang mampu saya kenang hingga kini.

“Ungkapan itu Ma sebut seminggu sebelum Ramadan lalu dan kemudian dia sesak nafas dan tidak sedarkan diri hingga ke hari ini.

“Ma memang menghidap penyakit asma dan ia semakin teruk pada Mei lalu. Ma dimasukkan ke Hospital Lati sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya ketika ditemui dipetik laporan Harian Metro.

Menurut beliau, selepas sebulan ibunya dirawat di hospital, ibunya tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif menyebabkan beliau membuat keputusan membawanya pulang ke rumah.

Sejak itu, katanya, dia bergilir-gilir dengau bapa saudara, Amran Mat Hasshim, 51, yang juga adik bongsu Zabidah menjaga wanita itu.

Menurutnya, mereka perlu memberi dia minum susu, mengelap badan sekurang-kurangnya tiga kali sehari selain mengurut.

“Pak cik bekerja di kilang roti berdekatan rumah. Apabila dia bekerja, saya terpaksa ponteng sekolah untuk jaga Ma. Hanya apabila dia tidak ke kilang barulah saya ke sekolah.

“Sebab itulah rekod kehadiran saya hanya tiga hari seminggu. Saya bersyukur kerana guru dan pihak sekolah memahami kesusahan kami sekeluarga.”

“Biarlah saya seorang yang berkorban demi Ma,” katanya yang sentiasa berdoa dan berharap ibunya sedar serta pulih kembali.

Bagi meneruskan kehidupan, remaja itu berkata, mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Wang daripada JKM berkenaan digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu Zabidah berharga RM80 setin manakala untuk perbelanjaan sekolah, dia hanya menggunakan wang zakat yang diberikan masyarakat setempat selain sumbangan guru.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan
Nasional (BSN), 03007-41-00015411-3, atas nama Mohamad Idham Mohd Nor.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.