PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran kawasan Lentang-Bukit Tinggi dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang.

Kebimbangan itu sebelum ini pernah disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil apabila melihat kegiatan pembalakan tidak terkawal berlaku di hutan itu ekoran projek laluan Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB) dari Bentong ke Lenggeng, Negeri Sembilan.

Beberapa tindakan juga telah dilakukan termasuk menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri selain masalah turut disiarkan di media massa, namun tindakan penguatkuasaan masih longgar menyebabkan pihak yang berkenaan rakus mencabul hutan yang menjadi antara kawasan utama tadahan air di negeri ini memetik Mstar.

Pembalakan tidak terkawal punca kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Karak?
Kesan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Lebuhraya Karak, petang Rabu.

“Kerja-kerja pembukaan hutan difahamkan telah bermula sejak akhir Oktober 2013 dan selepas itu, pihak yang berkenaan dengan rakus telah meneroka hutan di kawasan Hutan Lipur Lentang atas nama pembangunan walaupun ia terletak luar daripada jajarannya.

“Apabila kita mendapat tahu hal ini, Peka pernah menghantar surat secara rasmi kepada kerajaan negeri pada 20 Jan tahun lepas termasuk melahirkan kebimbangan tentang kesan-kesan perbuatan tersebut,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Shariffa Sabrina berkata, walaupun beberapa siri bantahan dilakukan, namun kegiatan itu masih rancak berlaku menyebabkan hutan semakin gondol sekaligus mendakwa ia menjadi antara punca kejadian tanah runtuh yang berlaku petang semalam.

“Akibat projek laluan TNB Lenggeng-Bentong ini ekologi telah tercemar, tanah juga terdedah kepada hujan menyebabkan aliran air di permulaan bertambah dan tidak terserap ke dalam tanah, tetapi terus mengalir menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Ia boleh menyebabkan kejadian yang lebih serius sekiranya kegiatan penerokaan hutan secara haram di Bukit Tinggi dan Hutan Lipur Lentang ini tidak dihentikan kerana ia melibatkan kawasan jajaran utama negeri ini,” katanya.

Katanya hujan lebat dan tanah runtuh yang berlaku 6.30 petang semalam turut mengakibatkan kawasan Tanah Aina Fareena dilanda banjir setinggi lebih satu meter dan ia merupakan kejadian pertama sejak kawasan eko-pelancongan seluas tiga hektar itu dibuka 12 tahun lepas.

Beliau berkata ia menyebabkan semua perabot dan peralatan di kawasan percutian yang sering menjadi tumpuan orang ramai itu rosak.

Sehubungan itu, Shariffa Sabrina meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa memandang serius hal ini dan mengambil tindakan drastik menghentikan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal itu untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku termasuk mengakibatkan kehilangan nyawa.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.