PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kuala Terengganu: “Saya minta peminat bola sepak Terengganu itu datang berjumpa kami untuk menerima cenderahati atas kejujurannya,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Wan Ahmad Nizam mengulas mengenai seorang penyokong bola sepak misteri yang mengirimkan sepucuk surat serta wang tunai RM15, pagi Ahad lalu kepada PBSNT.

Surat berkenaan menjadi viral di laman sosial dan pengirimnya mendakwa menyesali perbuatannya memasuki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak tanpa tiket pada 4 November lalu ketika pertemuan Terengganu dan LionsXII memetik Harian Metro.

Peminat Bola Sepak Ini Wajar Dicontohi
SURAT dan wang tunai RM15 yang dikirim Hamba Allah kepada PBSNT menjadi viral dilaman sosial.

Surat yang hanya ditandatangan pengirimnya dengan nama ‘Hamba Allah’ ditujukan kepada Pengurus PBSNT turut memohon maaf kerana kesalahan memanjat pagar stadium tanpa kebenaran untuk menyaksikan perlawanan yang menentukan tempat ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

Dalam surat bertarikh 8 November itu, peminat berkenaan mengakui melakukan perbuatannya kerana tidak berfikir panjang dan terpengaruh dengan pujukan kawan-kawannya.

Pengirimnya mendakwa tanpa sedar dia melakukan kesalahan itu dan takut mendapat pembalasan di mahkamah Allah, selain berazam tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Mengulas lebih lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata, beliau memuji kejujuran dan sikap peminat berkenaan yang menyesali perbuatannya dengan membayar semula harga tiket walaupun kos tempat duduk biasa hanya RM15.

“Inilah gambaran peminat bola sepak Terengganu yang sanggup berterus terang dan mengakui kesalahannya walaupun kos tidak seberapa, tetapi kejujuran dan kesetiaan kepada pasukan bola sepak Terengganu harus disambut baik.

“PBSNT memaafkan perbuatan Hamba Allah dan menerima dengan hati yang terbuka. Saya mengharapkan dapat berjumpa penulis surat berkenaan untuk memberi penghargaan serta cenderahati kepadanya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Setiausaha PBSNT, Arpin Draman berkata, surat berkenaan diterima pihaknya pada pagi 15 November oleh individu yang tidak dikenali yang menghantarnya ke pejabat persatuan di Wisma Seri Amar.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.