PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang lelaki sanggup ber­kereta sejauh 230 kilometer sambil membawa kepala seorang lelaki untuk ditanam berhampiran rumahnya di Gerik selepas dipercayai memancung leher mangsa di Slim River hari ini.

Perbuatan ngeri suspek berusia 35 tahun itu mula dikesan ekoran penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan di Slim River dekat sini pada sebelah pagi memetik Utusan Malaysia.

Mayat tanpa kepala ditemui dalam longkang
MAYAT mangsa tanpa kepala ditemukan dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan di Slim River, Perak, semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Mat Isa berkata, mayat lelaki itu dijumpai orang awam pada pukul 2.10 pagi.

Katanya, sebelum mayat mangsa ditemukan, pihaknya menemukan kesan darah di atas permukaan jalan di bahagian kiri arah selatan Jalan Persekutuan menghala ke Slim River.

“Siasatan di tempat kejadian oleh pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya menemukan identiti lelaki tersebut. Mangsa ialah K. Ganesan, berusia 50 tahun beralamat di Taman Slim Indah, Slim River dan bekerja di kedai besi buruk,” katanya.

Ujar Ahmad, susulan penemuan mayat mangsa, polis berusaha mengesan suspek dan berjaya menahan sebuah lori yang digunakan suspek di kawasan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng.

Penemuan mayat tanpa kepala dalam longkang: Lelaki sanggup redah 230km sambil bawa kepala mayat untuk ditanam berhampiran rumah
Lokasi mayat mangsa ditemukan.

Bagaimanapun, katanya, suspek tidak berada di lokasi tersebut dipercayai meninggalkan lori itu kerana bertukar syif kerja.

“Polis akhirnya berjaya menahan suspek ketika dia menyiapkan cangkul untuk mengorek lubang bagi menanam kepala mangsa di kawasan berdekatan rumahnya di Gerik.

“Polis turut menemukan kepala mangsa yang hendak ditanam oleh suspek. Suspek membawa kepala mangsa dari Ipoh ke Gerik menggunakan kereta yang dipandunya sendiri melalui Jalan Persekutuan dari Slim River ke Gerik,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan pada badan mangsa juga mendapati kesan kecederaan pada bahagian lengan kanan lelaki itu.

Tambah beliau, mayat mangsa dan kepalanya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.