PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Polis menyoal siasat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan ketika perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

Beliau yang diwakili sepasukan peguam, polis mengambil keterangan Dr Mahathir di Bangunan Yayasan Bangunan Al-Bukhary kira-kira pukul 11 pagi Jumaat.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabatnya, Dr Mahathir berkata polis bertanya soalan yang tidak dijawab oleh beliau.

“Mereka tanya soalan dan saya kata saya tidak akan jawab. Saya tidak jawab,” katanya memetik MStar.

Keluarkan kenyataan berbaur fitnah di Bersih 4, Mahathir kini disiasat

Ketika ditanya sama ada beliau bimbang akan ditahan, Dr Mahathir berkata ia terpulang kepada mereka.

Diminta mengulas mengenai dakwaan beliau akan keluar Umno, Dr Mahathir dalam nada bersahaja menjawab, “Tidak, tidak. Itu parti saya.”

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tiga polis penyiasat dari Bukit Aman mengambil masa selama 45 minit untuk merekodkan keterangan Dr Mahathir.

“Ditemani peguam Mohd Akmal Afiq Mohamad dan Fahmi Abd Moin, Dr Mahathir menjawab beberapa soalan dan kami menasihati beliau untuk tidak menjawab soalan lain.

Beliau berkata polis bertanya kepada Dr Mahathir mengenai soalan umum tetapi enggan mendedahkan secara terperinci mengenainya.

Ketika ditanya sama ada ia satu kenyataan saksi, Mohamed Haniff Khatri berkata beliau tidak mendedahkan mengenainya.

“Kadang kala kami sebagai peguam turut tertanya-tanya mengapa polis mengambil keterangan. Jika terdapat bukti, hanya tahan dan dakwa di mahkamah,” katanya.

Menurut laporan, polis menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataan yang dibuat semasa di Pasar Seni ketika perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

Antara kenyataan yang dibuat adalah pemimpin Umno didakwa menerima rasuah.

Pada 3 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Dr Mahathir bukan disiasat berhubung kehadirannya pada perhimpunan Bersih 4 tetapi kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.