PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Guru agama wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sik hari ini atas pertuduhan memukul pelajar perempuan berusia 16 tahun menggunakan wayar pada Oktober lalu.

Tertuduh Aishah Abu Bakar,42, dari Kampung Bandar Hilir, Mukim Teloi, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd Izham Ali memetik Harian Metro.

Ustazah dihadapkan ke mahkamah kerana pukul pelajar perempuan guna wayar hitam
AISHAH (dua kanan) diiringi oleh ahli keluarga ketika keluar dari Mahkamah Majistret Sik. FOTO Amran Hamid

Ibu kepada tiga anak itu hadir ke mahkamah sambil ditemani keluarganya, bagaimanapun kelihatan tenang sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Aishah didakwa memukul mangsa menggunakan wayar hitam di koridor hadapan kelas Pondok Bandar Hilir, Teloi Tua, di sini kira-kira 10 pagi pada 8 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Izham menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh bagaimanapun dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah selepas wang jaminan dibayar seorang ahli keluarganya sejurus selepas prosiding mahkamah selesai.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.