PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Ancaman keselamatan yang diterima beberapa‎ pemimpin negara dipercayai didorong pendirian tegas Malaysia dan 10 negara anggota Asean lain dalam menentang keganasan kumpulan IS, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ia mungkin kerana kami membuat pendirian yang tegas terhadap IS dan kami mendapat semua 10 negara anggota Asean bersatu menentang mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya ini juga dipercayai berikutan deklarasi yang ditandatangani semua negara anggota Asean pada bulan Mac lepas yang bersetuju untuk menentang semua aktiviti keganasan yang dilakukan kumpulan itu di rantau ini memetik Bernama.

Punca pemimpin Malaysia jadi sasaran IS terbongkar
IS beri ancaman kerana pendirian tegas Malaysia.

Semalam, Hishammuddin dilapor mendedahkan bahawa nama beliau bersama-sama beberapa lagi pemimpin negara tidak terkecuali daripada menjadi sasaran kumpulan pengganas IS.

Beliau menegaskan ancaman yang ditujukan terhadap dirinya dan beberapa pemimpin negara oleh pengganas IS itu adalah cubaan untuk mengugut dan menakutkan semua pihak namun disifatkan tidak akan berjaya.

“Kalau mereka nak cuba ugut dan menakutkan kita, ia tidak akan berjaya kerana iltizam dan semangat kita adalah untuk berdepan dengan kumpulan pengganas ini, malah lebih memberi semangat untuk menentang sebarang aktiviti keganasan,” kata Hishammuddin.

Mengakui ancaman yang diterima beliau bukan maklumat baharu, namun beliau memutuskan untuk mendedahkan perkara itu kerana melihat perkembangan membimbangkan, khususnya selepas tragedi serangan di Paris pada Jumaat lepas.

“Saya nak suntik ‘sense of urgency’ dalam konteks keselamatan terhadap negara kita,” katanya yang tidak mendedahkan nama pemimpin lain yang turut menerima ancaman tersebut.

Beliau berkata semua pihak tidak boleh mengambil mudah ancaman yang diterima terutama dalam konteks keganasan yang dilakukan oleh kumpulan militan IS lebih-lebih lagi di kawasan panas di persempadanan negara.

“Pihak keselamatan perlu kendalikan dengan baik khususnya melibatkan kawasan hotspot di selatan Thailand dan selatan Filipina, jangan ingat nasib yang sama (dengan serangan Paris) tak boleh menimpa kita di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan perkongsian risikan terutama berhubung siri serangan yang berlaku di Paris baru-baru ini.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.