PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Keputusan mahkamah yang mendapati Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail tidak bersalah dalam pertuduhan pecah amanah secara tidak langsung menunjukkan pimpinan Umno membenarkan rasuah, dakwa Rafizi Ramli.

Naib Presiden PKR itu mendakwa, keputusan tersebut dibuat oleh mahkamah setelah tertuduh berjaya membuktikan bahawa pembelian dua unit kondominium menggunakan dana NFC telah diluluskan mengikut prosedur dan peraturan syarikat melalui ‘retrospective approval’ (kelulusan retrospektif).

Punca Pengerusi Eksekutif NFCorp diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah didedahkan Rafizi
Pengerusi Eksekutif NFCorp diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah: Rafizi Ramli dakwa ia kerana UMNO 'benarkan' rasuah

“Saya sedikit pun tak terkejut…apa yang tak melanggar peraturan, apa yang mengikut prosedur dan syarat itu tak semestinya benar.

“Rakyat tahu, jangan memandang rendah kefahaman rakyat,”katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ‘kelulusan retrospektif’ itu telah dibuat sama ada di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah atau Mesyuarat Agung Tahunan yang dihadiri wakil-wakil kerajaan yang mempunyai saham istimewa dalam NFC.

Katanya, beliau telah diberitahu bahawa kelulusan retrospektif itu dibuat sekitar Jun tahun ini tetapi tidak mengetahui tentang butiran lanjut.

“Wakil-wakil kerajaan dalam Lembaga Pengarah hanya boleh beri kelulusan pembelian kondominium itu dengan persetujuan dan arahan daripada pegawai atasan kerajaan iaitu menteri atau ketua setiausaha kementerian.

“Keputusan pada hari ini dan sangkaan saya bahawa wakil kerajaan telah membenarkan pembelian ini (jika benar) mengesahkan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada iltizam untuk memerangi penyelewengan dan rasuah,” katanya.

Beliau menambah keputusan pada Selasa juga mengesahkan bahawa skandal NFC bukan hanya melibatkan keluarga bekas menteri (Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil) tetapi keseluruhan Umno kerana pimpinan Umno dalam kerajaan memberi izin dana NFC digunakan untuk membeli kondominium.

Beliau turut menyatakan kegusaran apabila pimpinan Umno yang menerajui kerajaan kini semakin ghairah memberi alasan terhadap pembelian atau perbelanjaan tidak munasabah sebagai ‘mematuhi prosedur atau syarat’ untuk lari daripada tindakan undang-undang.

“Ia bukan soal ikut prosedur atau syarat tapi tindakan menggunakan duit orang awam.

“Saya rasa tak ada penutup yang baik dalam isu NFC tetapi ia memberi kesan politik kepada Barisan Nasional…yang menghidupkan semula isu ini dan meletakkan ‘tangan-tangan Umno’ di dalamnya,” kata Rafizi Ramli.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa melepas dan membebaskan Mohamad Salleh Ismail daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah NFC didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140.

Ini melalui empat keping cek NFC untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerong, Bangsar.

Beliau juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, ke dalam akaun syarikat National Meat Livestock Corporation pada 2009.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Sumber : Mstar

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.