PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kira-kira sebulan selepas mengumumkan kenaikan tol pada 15 Oktober lalu, kerajaan sekali lagi membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa lapan pengendali lebuh raya di negara ini dibenarkan untuk menaikkan kadar mereka pada tahun depan.

Baca artikel sebelum: Ahli Parlimen Bayan Baru dedah tol di 8 lebuhraya bakal naik tahun depan

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, jika kerajaan menolak permintaan pemegang konsesi untuk menaikkan kadar tol, maka Putrajaya terpaksa membayar RM593.32 juta dalam bentuk pampasan seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2016 memetik Malaysiakini.

8 lebuhraya dibenar menaikkan kadar tol mengikut kontrak tahun 2016

Lapan lebuh raya berkenaan adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Link Kedua, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP), Lebuhraya Selat Klang Utara (NKSB) dan Lebuhraya Selat Klang Utara (BKE).

“(Ini) adalah lebuh raya yang dibenarkan menaikkan kadar tol mengikut kontrak mereka. Saya belum membuat keputusan mengenai kuantum kenaikan kadar itu,” kata Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya.

Butiran pampasan adalah Plus (RM214 juta), Link Kedua (RM 8.2 juta), Elite (RM79.44 juta), BKE (RM3.11 juta), SPDH (RM1.95 juta), LDP (RM185.89 juta ), Kesas (RM92.8 juta) dan NKSB (RM7.85 juta).

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan telah menambah baik terma-terma perjanjian berkenaan kenaikan kadar tol dengan syarikat konsesi lebuh raya sedia ada.

Antara terma yang ditambah baik itu ialah memansuhkan kenaikan kadar tol secara automatik walaupun sudah ditetapkan tempoh masa tertentu bagi kenaikan dalam perjanjian sebelum ini.

Senarai 8 lebuhraya sah dibenar menaikkan kadar tol mengikut kontrak tahun depan (2016)

“Setiap kali ada permohonan (dari syarikat konsesi) untuk kenaikan tol, kita akan melihat dan kaji balik semua kenyataan syarikat. Adakah mereka mencapai anggaran aliran trafik yang melalui kawasan itu.

“Kalau aliran trafik (di lebuh raya) mencapai seperti yang dianggarkan, maka kita tidak akan benarkan kenaikan tol,” katanya.

Fadillah berkata kadar tol sesuatu lebuh raya ditentukan oleh kos pembinaan dan anggaran aliran trafik, dan kenaikannya dikaji semula setiap tempoh masa tertentu seperti yang termaktub dalam perjanjian.

Beliau berkata terma lain yang ditambah baik ialah kerajaan boleh menamatkan perjanjian lebih awal dari tarikh yang dipersetujui dalam perjanjian jika syarikat konsesi mencapai keuntungan yang tertentu.

Menurutnya kerajaan dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi, pemegang bon dan pembiaya projek lebuh raya mengenai kadar tol.

“Kita kena mengimbangi beberapa perkara seperti kemampuan kerajaan, kepentingan syarikat konsesi dan kepentingan pengguna,” katanya.

Fadillah juga menegaskan kerajaan akan perlu menanggung pembiayaan beratus bilion ringgit jika bercadang mengambil alih semua lebuh raya di negara ini, dan langkah itu bukanlah tindakan yang wajar.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.