PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Sewaktu zaman pemerintahan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, negeri itu turut dihidangi peristiwa pahit manis.

Menurut anaknya, Nik Mohamad Abduh, hal itu berlaku kerana bapanya itu hanya insan biasa yang tidak maksum memetik Sinar Harian.

Anak Nik Aziz kata zaman TGNA tidak semua betul
Siapa kata zaman TGNA semua betul?

“Siapa kata pada zaman TGNA, semuanya benar dan betul? Itu pembersihan yang kotor. Mana ada kemaksuman daripada insan dan insani?

“Bezanya adalah bagaimana kekurangan, keaiban dan kesalahan itu dibendung dan diperbaiki. Ia berlaku baik, pada zaman pemerintahan almarhum TGNA,” katanya melalui tulisan di Facebook.

Menurutnya lagi, peristiwa manis yang dihadapi Kelantan sentiasa disyukuri dengan anggapan ia hadiah dan ganjaran awal sebelum hadiah dan ganjaran yang lebih besar menanti.

“Yang pahit, kadang-kadang adalah daripada fitnah musuh dan kadang-kadang adalah daripada kesalahan sendiri. Jika ia fitnah, maka ia adalah ujian, maka ia dihadapi dengan sabar dan berjuang pertahankan diri. Pahala dan darjat tinggi menanti daripadaNYA.

“Jika ia adalah akibat daripada kesalahan sendiri, ia menjadi balasan dan peringatan. Balasan dan hukuman ALLAH di dunia jika sabar dan diinsafi, ia menghapus dosa dan menghapuskan balasan buruk lebih besar di akhirat nanti. Maka ia menjadi kesyukuran selepas kesabaran,” katanya.

Beliau membangkitkan suasana yang sudah tidak berlaku hari ini di mana pemimpin berusaha ke arah kebaikan dan rakyat memberi harapan serta kepercayaan.

“Mengapa ia tidak berlaku hari ini? Adakah tidak menghebohkan kesalahan dan keaiban sesama sendiri di kalangan pemimpin adalah satu legasi buruk daripada dan pada zaman almarhum TGNA?

“Perhatikan, jika anda gemar dan beria-ia membongkar kesalahan atau kekurangan sesama sendiri, anda akan didorong nafsu untuk menokok tambah dengan fitnah dan tuduhan. Mencampur aduk antara benar dan salah adalah kesukaan syaitan dan kebencian ugama. Anda perlukan syaitan untuk membantu meyakinkan ramai,” katanya.

Sebelum ini, Adun Salor, Datuk Husam Musa mempertikaikan pentadbiran kerajaan Kelantan termasuk keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji wakil rakyatnya.

Tambahnya, “Justeru kembalikan kegemilangan era TGNA dengan menuruti sunnah yang baik daripada pemerintahan lampau. Nantinya anda akan dianugerahi kepuasan, ketenangan, keyakinan dan kebahagiaan.”

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.