PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Saya tertarik dengan kenyataan timbalan ketua pengarah kementerian kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim dan juga Profesor Datuk Dr Abdul Razak Mutaliff, pengerusi jawatankuasa teknikal yang meneliti kesan rokok elektronik dan shisha pada kesihatan.

Saya melihat ada tangan-tangan tersembunyi di sebalik maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh mereka berhubung berhubung isu kawalan tembakau, rokok elektronik dan vape.

Kenyataan mereka lebih bertujuan untuk mencari kesalahan tanpa membuat kajian serta cadangan untuk mengawal selia industri vape. Kementerian menyatakan, kerajaan akan menyerbu dan merampas perisa yang menpunyai kandungan nikotin.

Persoalan saya, sudahkah pihak kementerian mengeluarkan garis panduan dalam penyediaan cecair perisa vape ini sejak awal?

Misteri tangan ghaib yang arahkan rampasan cecair vape yang membelakangkan kabinet

Jawapannya sudah pasti tiada. Sepatutnya pihak kementerian di bawah menteri Datuk Seri S Subramaniam melakukan ujian dan kajian terhadap perisa ini serta tetapkan garis panduan bagi kelulusan pihak kementerian kesihatan.

Amat kelakar apabila kerajaan ingin terus merampas alat ini daripada peniaga sedangkan kerajaan masih belum mebuat apa-apa garis panduan dalam penyediaan perisa vape.

Pelik juga bila kabinet mengeluarkan keputusan untuk membentuk garis panduan kawal selia dan tidak mengharamkan vape. Kementerian Subramaniam pula seperti cacing kepanasan terus mengeluarkan arahan untuk merampas.

Saya baru dimaklumkan bahawa kementerian kesihatan bukan hanya akan merampas perisa vape tetapi turut mengeluarkan denda RM500 untuk setiap botol. Ini adalah satu tindakan yang tidak patut.

Siapakah tangan ajaib di sebalik gerak kerja ini yang membelakangi keputusan Kabinet? Siapa yang menggerakkan arahan rampasan ini?

Kenapa pihak kementerian kesihatan mengisytihar perang secara terbuka pada industri vape ini? Adakah syarikat gergasi rokok yang mendalanginya?

Kenapa pihak kementerian tidak buat sesi bersama penggerak industri vape bagi mencari titik penyelesaian?

Saya menunggu jawapan pihak Datuk Seri S Subramaniam ke atas soalan yang saya ajukan.

ARMAND AZHA ABU HANIFAH exco Pemuda Umno.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.