PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Seorang perunding jualan kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini, berhubung kematian teman wanitanya yang terjatuh di lereng Bukit Permai, Ampang, bulan lalu.

Sharminder Singh Christi Anthony, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Unaizah Mohd.

Dia didakwa menyebabkan kematian Jaspal Kaur Balbir Singh, 28, di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Ampang, di sini pada 12.15 malam, 30 Oktober lalu, mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan memetik Bernama.

Penjelasan lelaki tampar teman wanita sampai maut
Sharminder Singh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang hari ini, berhubung kematian teman wanitanya yang terjatuh di lereng Bukit Permai, Ampang, bulan lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan serius dan tertuduh berkemungkinan melarikan diri.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia tidak sengaja melakukan perbuatan itu kerana keadaan konkrit yang licin ketika kejadian.

“Saya tidak berbuat apa-apa kerana konkrit itu licin, saya minta jamin, saya ada keluarga untuk tanggung, saya juga kehilangan orang yang saya sayang (mangsa),” katanya.

Tertuduh yang memakai kemeja lengan pendek berwarna kelabu juga berkata dia mempunyai dua anak berusia 11 dan lapan tahun hasil perkahwinan pertamanya yang kini dalam proses perceraian dan merancang berkahwin dengan mangsa depan.

Hakim Unaizah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut akibat terjatuh dari lereng bukit di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai selepas dipercayai bergaduh dengan teman lelakinya.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa terjatuh dari ketinggian 26 meter dari lereng bukit itu.

(Baca: Wanita Maut Jatuh Lereng Bukit Lepas Ditampar Teman Lelaki)

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.