PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Melihat semakin ramai selebriti tempatan berhijrah secara fizikal dengan mula berhijab dan menjadi ikutan peminat-peminat, buat Anita bertanya sendiri pada dirinya adakah ini tuntutan gaya semasa atau memang ini masa yang tepat untuk mereka berhijab?

Jangan dek kerana Yuna memulakan kerjayanya sebagai penyanyi dengan berhijab baru semua membuka mata yang dengan menutup aurat pun sesiapa boleh berjaya dalam bisnes hiburan hari ini.

Anita merupakan bekas model yang sudah merantau seluruh dunia menjual wajah Melayunya dalam banyak pentas peragaan, kempen mahupun iklan TV. Dan dia pulang ke kota metropolitan Kuala Lumpur setelah banyak yang dilaluinya. Namun sekalipun tidak lagi terlibat dalam bidang peragaan minat mendalamnya dalam bidang fesyen masih diteruskan dengan membuka bisnes menjual tudung dan ya dia berhijab kini namun tersarungnya hijab di kepalanya bukan kerana berkahwin kini tapi kerana petunjuk yang diberikan buat dirinya.

Sewaktu berusia 16 tahun Anita nekad mahu ke Singapura untuk menjadi seorang model. Dia bertuah dengan bentuk badan yang dimiliki – kaki yang panjang, kulit yang cantik dan raut wajah cukup menawan membuatkan laluannya untuk menjadi model di sana mudah. Saat itu dia belum pun lagi mengambil SPM dan tentu saja keputusannya untuk ke Singapura ditentang hebat oleh kedua ibu bapanya namun Anita tetap berdegil.

Pernah dia dikurung dan tidak dibenarkan keluar rumah kerana kehendaknya itu namun tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan ibunya apabila Anita mengugut enggan pergi ke sekolah jika kehendaknya itu tidak dituruti. Maka dilaburkanlah wang simpanan yang ada untuk menghantar Anita ke sana dengan syarat dia harus meneruskan pelajaran di sana. Anita bersetuju dan mula mencari peluang untuk menapak sebagai model di sana.

Mungkin kerana kesungguhan yang ada, Anita berjaya mendapat beberapa perhatian agensi di sana yang menawarkan kontrak peragaan buatnya. Dan bermulalah kembaranya sebagai seorang model di kota metropolitan Singapura. Bermula dengan sesi casting buat beberapa klien dia berjaya mendapatkan kesemua tawaran dalam sesi yang dihadiri. Dengan bantuan Wei Ling, kerjaya dalam bidang peragaan tersusun rapi bagai tiada masalah yang mendatang.

Dalam seminggu ada saja tawaran yang harus dipenuhi dan janjinya pada kedua ibu bapanya untuk terus belajar juga diteruskan biar kadang terlepas juga beberapa kelas dan repeat beberapa kertas ujian. Penuh sekali jadualnya di sana sehingga jika berkesempatan membuat peragaan di Kuala Lumpur pun dia tidak sempat melawat kedua orang tuanya.

Pejam celik dua tahun sudah dilalui dengan jalan yang cukup menggembirakan dan apa yang lebih menambah kegirangannya adalah peluang untuk terbang ke Jakarta, Bangkok, Hong Kong dan Tokyo merentas pelosok Asia untuk memperaga. “You did such an amazing job throughout this year Nita,” kata Wei Ling padanya. Anita hanya tersenyum bangga dengan apa yang dicapai dan mencelah “I would never make it without you.”

Kisah Penghijrahan Seorang Model
Gambar hiasan.

Kehidupan sebagai peragawati pasti saja akan diuji dengan wang, kemewahan dan lelaki yang sentiasa mahu mendekatinya. Kadang Anita hanyut juga dibuai aura glamor dunia peragaan. Apa lagi setiap kali habis show ada saja after party yang gila-gila dihadirinya dan tentu saja dia akan bertemu dengan orang berbeza yang kadang buat dia sedikit hanyut namun tidaklah sehingga menjual tubuh untuk kesenangan. Cuma, dia mula mengenal jenis-jenis minuman keras.

Sehingga ada satu tahap Anita addicted dengan air-air syaitan ini. Wei Ling mula risau kerana takut dengan tabiat barunya ini akan mengganggu gugat kerjaya peragaannya dan nyata memang disiplin Anita semakin merudum akibat terlalu bergantung pada minuman keras. Beberapa sesi casting dia datang lambat dan membuatkan klien meragui keseriusan Anita dalam kerjayanya sekalipun dia antara yang paling hangat ketika itu. Maka terlepaslah beberapa job besar yang ada dan perihal ini pasti saja membuatkan Wei Ling pening nak menjawab dengan pihak pengurusan agensi.

Satu e-mel diterima Wei Ling yang mahukan Anita datang dalam satu sesi casting buat satu peragaan di Paris. Perkara ini pasti saja membuat Wei Ling teruja kerana tawaran begini bukan saja untuk karier Anita malah buat portfolionya sendiri. Tapi dengan masalah disiplin Anita akhir-akhir ini buat dia gusar. Mahu tidak mahu dia harus duduk semeja dan slow talk dengan Anita dan jika dia serius untuk melebarkan sayapnya dalam bidang modeling ke peringkat lebih tinggi dia harus lebih serius dan harus berubah.

“I dapat offer for you to fly to Paris.” Anita teruja “What? Seriously? I nak, I nak!” Wei Ling diam seketika sebelum bersuara “But I want you to change your bad habit. No more drinks, no more heavy night life. If you boleh buktikan pada I yang you serius dan boleh berubah I will accept this offer. Kalau tak I tak boleh terima because akhirnya I sendiri yang malu dengan sikap you.” Anita diam dan nyata apa yang dikatakan Wei Ling buat dia tersentak dan berfikir semula tentang betapa keinginannya mahu menjadi model ternama. “Okey, saya janji saya akan berhenti, tapi perlahan-lahan lah. Tapi tolong terima tawaran tu.. please.” Anita nyata tegas mahu ke Paris.

Pada awalnya dia hanya ditempah untuk memperagakan satu jenama sahaja namun apabila dia muncul atas runway banyak mata mula tertumpu padanya dan dari situ semakin banyak booking yang perlu Wei uruskan buat kerjaya Anita. Nyata gemerlap bintangnya begitu kemilau sekali dalam menyempurnakan cita-citanya menjadi model ternama. Namun janjinya pada Wei Ling hanya manis di awalnya sahaja.

Perlahan-lahan tabiat meminum minuman keras itu kembali dan apa yang lebih merunsingkan Wei Ling adalah bila Anita mula rapat dengan seorang jejaka Inggeris, Chris yang dikenali dalam salah acara runway. Ke mana saja jejaka itu pergi pasti Anita akan mengikutnya. Maklumlah peluang terbang ke sana sini tanpa keluar satu sen pun menjadi idaman semua orang apatah lagi contact besar yang buat dia mampu melebarkan sayapnya dalam bidang peragaan membuatkan Wei Ling rasa sedikit terpinggir.

Satu malam selepas satu sesi fotografi buat kempen jenama ternama, Anita menghabiskan masa di bar yang biasa dikunjungi bersama Chris namun malam tersebut dia berjalan sendiri kerana Chris tidak menghubunginya walaupun berjanji untuk berjumpa. Tiba di bar tersebut betapa remuk hatinya melihat Chris bersama perempuan lain yang mengelilinginya.

Walaupun tiada sebarang kata cinta diucapkan antara mereka dan Anita sendiri awalnya hanya mahu berseronok, hati wanitanya tetap ada sedikit harapan diletakkan pada Chris. Anita tidak berpaling pada Chris dan terus melewati malamnya sendiri sehingga dia bukan lagi dirinya.

Sedar di pagi hari Anita telah terdampar sendiri di belakang lorong bar yang dikunjungi malam tadi. Saat dia terjaga dan berjalan pulang sendiri ke rumah dia terlihat seorang anak muda menolak kerusi roda yang dinaiki ibunya membuatkan Anita berasa sebak sendiri. Teringat akan kedua ibu bapanya yang berada di Malaysia. Anita tiba di rumah dan Wei Ling tiada di sana, yang tinggal hanya nota kecil menyatakan bahawa dia telah pulang ke Kuala Lumpur.

Saat ini kosong jiwanya tanpa ada tempat bergantung dan tangisan mula menjadi temannya. Lebih seminggu dia mengurungkan diri di rumah tanpa ada satu job pun yang dihadirinya. Sehingga hatinya terdetik untuk kembali ke jalan yang benar. Grande Mosque de Paris dikunjungi dengan hati yang penuh sayu. Di sana dia mula belajar sendiri tentang erti sebenar menjadi manusia, menjadi muslimah sebenar.

Anita beruntung komuniti di sana begitu menyokongnya dan perlahan-lahan dia berubah daripada seorang model ternama yang menyarung helaian mewah dan seksi kepada seorang yang sentiasa berjubah hitam dan berhijab.

Pejam celik hampir setahun juga dia melalui fasa kehidupan yang nyata berbeza daripada alasan mengapa dia di Paris awalnya. Pintu hatinya telah dibuka dari pengalaman perit mengajar dia untuk bangkit sebagai manusia sebenar dan dipertemukan jodohnya dengan seorang jejaka yang memudahkan lagi laluannya untuk memperbetulkan diri. Ya, Anita bertuah kerana biar apapun jalan dipilihnya urusannya bagai dipermudahkan.

Dia dan suami membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baru dan yang paling penting untuk kembali kepada kedua ibu bapanya yang lama ditinggalkan. Ziarah fesyennya juga digerakkan ziarah jiwa yang ingin kembali ke jalan yang benar. Moga semua juga begitu. Jangan hanya ziarah secara fizikal semata, ubahlah jiwa gerakkanlah minda dan biar cantik yang dipandang mata telusnya dari hati dan jiwa. - Eh!

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.