PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

“Tolong hentikan spekulasi atau fitnah hingga mengaibkan kami sekeluarga,” itu pinta bapa remaja perempuan yang mati dikelar di rumahnya di Bandar Baru Teluk Kumbar di sini, Ahad lalu.

Mawardi Abdul Hak, 36, berkata, sejak kejadian memilukan menimpa anak sulungnya, Intan Suraya, 17, pelbagai prasangka dan tanggapan buruk dilemparkan kepada mereka sekeluarga termasuk dakwaan tidak benar hingga menyebabkan mereka malu dan trauma.

Menurutnya, dia sekeluarga berharap semua pihak menghormati perasaan mereka kerana masih bersedih dan tidak sanggup lagi mendengar sebarang kenyataan tidak betul hingga mengaibkan memetik Harian Metro.

Rayuan bapa mangsa kelar,Intan Suraya Mawardi
MAWARDI berharap semua pihak menghormati perasaan mereka.

“Kami reda dan pasrah dengan ketentuan Allah terhadap apa yang menimpa arwah Intan Suraya dan sentiasa berdoa yang baik-baik untuknya.

“Ramai yang tidak tahu kejadian sebenar dan jika tidak tahu, tidak perlu membuat dakwaan atau spekulasi buruk hingga menimbulkan fitnah menyebabkan kami sekeluarga trauma dan malu,” katanya ketika menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, semalam.

Mawardi berkata, kini biarlah undang-undang menentukan nasib orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu kerana individu terbabit sudah ditahan polis dan sudah mengaku melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, apa yang diharapkan kematian Intan Suraya akan mendapat pembelaan seadil-adilnya dan orang yang bertanggungjawab menerima hukuman sewajarnya.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan akan membantu keluarga berkenaan menjalani rawatan kaunseling dalam tempoh terdekat berikutan mereka masih trauma dengan kejadian itu.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.