PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 31 tahun terhadap Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64; yang juga bapa kepada pelakon Ummi Nazeera.

Beliau didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen berhubung surat peletakan jawatan dan pemindahan saham milik isteri keduanya, sembilan tahun lepas.

Keputusan itu dibuat Hakim Norsharidah Awang setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan memetik Mynewshub.

Bapa dipenjara 31 tahun, Ummi Nazeera luah rasa syukur
Bapa Ummi Nazeera dipenjara 31 tahun

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 10, Zainulabadin didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi beberapa dokumen bagi memindah milik 1.68 juta unit saham syarikat Mutiara Efektif (M) Sdn. Bhd., daripada Datuk Maziah Musa, 51; selaku pemberi pindah milik, kepada anak tertuduh, Ahmad Fikhri.

Selain itu, dia turut dituduh menggunakan dokumen palsu untuk melantik anaknya, Ahmad Fikhri dan Nor A’khilah sebagai pengarah syarikat B.TIS Manufacturer Sdn. Bhd. serta Peletakan Jawatan Datuk Maziah Musa sebagai Pengarah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Indah Secretarial Management, 18-1, Jalan 15/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul dekat Kuala Lumpur antara Disember 2006 dan Mei 2009.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga telah mengambil keterangan ahli kimia kerajaan yang mengesahkan antara tulisan dan spesimen tanda tangan pengadu (Maziah) dalam kesemua dokumen yang dipertikaikan telah dipalsukan.

Akibat tindakan tertuduh, Maziah mendakwa hilang hak sebagai pengarah dan juga pemegang saham bagi syarikat tersebut.

Hakim Norsharidah menyifatkan kes itu berlaku disebabkan masalah keluarga yang bersifat tamak dan dendam.

Setelah mendengar keputusan mahkamah, Maziah tidak dapat menahan sebak dan terus memeluk anak-anaknya, Ummi Nazeera dan Ahmad Nazreem.

Sementara, Ummi Nazeera memberitahu media dia bersyukur dengan keputusan itu dan menyatakan segala keperitan ibunya telah berakhir.

“Saya mengagumi ibu saya yang begitu tabah melalui segalanya. Saya dan abang saya sentiasa di belakang ibu saya,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri popular, Nur Kasih dan filem Hikayat Merong Mahawangsa.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.