PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Peluang Harimau Malaya untuk mengintai tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2019 semakin kelam selepas tewas 0-6 dengan Palestin dalam aksi kelayakan Kumpulan A di Stadium Antarabangsa Amman malam tadi.

Selepas peluang Malaysia untuk layak ke Piala Dunia 2018 sudah tertutup, kekalahan keempat dalam enam perlawanan kempen kelayakan itu meletakkan skuad kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee kekal di tangga keempat dengan empat mata manakala Palestin terus mencabar pendahulu Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila mengumpul sembilan mata memetik Harian Metro.

Harimau Malaya Kena Belasah Palestin 6-0
Pemain Palestin, Alexis Norabuena diasak pemain Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 malam tadi.

Ini kali kedua Harimau Malaya tumpas kepada Palestin selepas dimalukan dengan kekalahan 0-6 di Stadium Nasional Bukit Jalil 16 Jun lalu ketika di bawah bimbingan Dollah Salleh.

Tanpa beberapa tonggak utama seperti penyerang Mohd Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Azamuddin Akil, pengendali sementara Kim Swee terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utama.

Pemain tengah Shahrul Saad yang diturunkan buat kali pertama dalam skuad utama Harimau Malaya beraksi baik dengan menyelamatkan percubaan Palestin Ashraf Alfawaghra di atas garisan gol pada minit ke-19.

Selepas lebih setengah jam beraksi, benteng pertahanan negara mula rapuh apabila melepaskan dua gol dalam tempoh dua minit bermula dengan jaringan Jonathan Zorilla pada minit ke-36 sebelum Ahmed Abunahia menjadikan kedudukan 2-0.

Gawang negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat bolos lagi pada minit ke-45 selepas Ahmed Abunahia memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti.

Dalam aksi cuaca sejuk dengan suhu 12 darjah selsius, Malaysia cuba bangkit pada separuh masa kedua namun percubaan penyerang Mohd Amri Yahyah berjaya diselamatkan penjaga gol Tawfiq Abuhammad.

Bagaimanapun skuad Lions of Canaan berjaya menambah gol keempat hasil percubaan Ahmed Abunahia yang turut melengkapkan hatrik pada minit ke-59 sebelum penyerang gantian Tamer Seyam menambah derita pasukan pelawat dengan gol di minit ke-88.

Pemain tengah Jaka Hbaisha melengkapkan kemenangan 6-0 Palestin dengan rembatan deras di minit ke-92.

Harimau Malaya akan meneruskan saingan peringkat kumpulan menentang UAE di Stadium Shah Alam 17 November ini sebelum aksi terakhir dengan Arab Saudi pada Mac tahun depan.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.