PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) menutup Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, berkuat kuasa serta-merta susulan tragedi mengorbankan lima sekeluarga, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain yang mempunyai kawasan rekreasi air terjun berisiko, menutup kawasan itu terutama sepanjang musim hujan ini bagi mengelak kejadian sama berulang. 

Kerajaan negeri juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kajian mengenai tahap kelajuan pusaran air dan kepala air di lokasi rekreasi air terjun seluruh negeri ini. Selain itu, kerajaan negeri turut merancang membina pintu air di kawasan yang berbahaya dan berpotensi berlaku kepala air terutama ketika musim tengkujuh lapor Berita Harian.

5 Sekeluarga mati lemas, Air Terjun Belukar Bukit kini ditutup

JPS juga diminta membuat kajian sama ada amaran kecemasan perlu diletakkan di kawasan rekreasi air terjun berarus deras. Katanya, kerajaan negeri juga akan meminta semua agensi terbabit dengan pengurusan hutan lipur termasuk Jabatan Perhutanan, pejabat daerah dan PBT melakukan kajian dari segi keselamatan serta kemudahan asas di kawasan itu.

“(Tindakan ini dilakukan kerana) Kami memandang serius keselamatan pengunjung kawasan rekreasi di negeri ini,” katanya selepas melawat Mohd Hasif Mohd Halim, 8, di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini, hari ini.  Mengulas mengenai Air Terjun Belukar Bukit yang terabai sejak tiga tahun lalu, Ahmad Razif meminta MDHT mengkaji semula hak jagaan lokasi berkenaan sama ada membabitkan Jabatan Perhutanan atau Pejabat Daerah Hulu Terengganu atau MDHT.

“Saya lihat di sini ada beberapa percanggahan mengenai penjagaan taman rekreasi ini sama ada (bawah pentadbiran) pejabat daerah atau MDHT… sebab itulah keadaan lokasi ini terabai. “Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan lokasi ini dibaik pulih dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim Safian, 44, dan isteri, Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Bagaimanapun, Mohd Hasif, 8, iaitu anak bongsu pasangan itu yang berada di atas darat, terselamat.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.