PLEASE ENABLE YOUR JAVASCRIPT TO VIEW THIS PAGE!
[ How? ]

Semalam saya terima satu screenshot daripada seorang kenalan saya yang juga merupakan seorang jururawat lelaki, Juu Hay Mie.

Screenshot ini merupakan satu review yang dikarang oleh seorang individu berkaitan perkhidmatan dan larangan di Hospital Jitra, Kedah.

Dalam screenshot ini, individu terbabit telah menekankan beberapa isu yang dirasakan bermasalah, contohnya larangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah untuk masuk bertemu pesakit (ahli keluarga, mungkin) di dalam kawasan wad. 

Penjelasan kenapa kanak-kanak dilarang melawat pesakit di wad

Kemudian dia mempersoalkan larangan yang dikuatkuasakan oleh Pengarah hospital tersebut. Selang beberapa kata cacian, individu ini kemudiannya menghalakan amarahnya terhadap pengawal keselamatan di wad terbabit. Akhir sekali, beliau mendakwa dirinya serta ahli keluarganya tidak mendapat layanan sewajarnya sebagai seorang manusia.

Artikel ini bukan bertujuan mahu memperbetulkan apa yang dikemukakan oleh individu berkenaan. Ia hanyalah sekadar pengetahuan tambahan dan peringatan kepada anda (pembaca) dan saya sekiranya perkara ini terjadi kepada kita dan keluarga agar kita dapat mengambil iktibar.

Budak dilarang melawat pesakit di wad, ini penjelasannya

Ini penjelasan daripada saya berdasarkan apa yang saya nampak, baca, perhati dan fahami. Jika ada salah, mohon ditegur dan diperbetulkan ya?

1. Kenapa kanak-kanak tidak boleh jadi pelawat bila nak jumpa pesakit? 

Sebabnya, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah mempunyai tahap imuniti badan yang rendah. Maknanya, kanak-kanak ini mudah mendapat jangkitan.

Seperti mana yang kita tahu,mana-mana wad di mana-mana hospital penuh dengan kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan wabak. Tambahan pula dengan kes-kes jangkitan yang semakin kalis antibiotik (resistant), jangkitan daripada pesakit dan staf kepada pelawat terutamanya kanak-kanak mudah terjadi.

Jangkitan seperti ini kita panggil sebagai ‘Hospital Acquired Infection’ yang bermaksud, jangkitan yang diperolehi dari institusi kesihatan.

Selain itu, kanak-kanak juga sukar untuk disembuhkan jika terkena jangkitan kerana mereka ini tiada perlindungan diri yang sempurna. Organ dalaman mereka masih belum matang. Sudahlah dengan imuniti badan yang rendah, ditambah pula dengan kesukaran untuk sembuh, maka kanak-kanak amat berisiko tinggi untuk sakit. 

Ditambah lagi dengan kes-kes antivaksi yang menolak sebarang perlindungan daripada vaksin sejak kecil, sangat berisiko untuk kanak-kanak untuk melawat hospital. Sudahlah kita tak bagi pelampung, kita bawa pula anak-anak ke tengah laut.

2. Hospital bukan kawasan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Bilamana kita sebut hospital, rata-rata kita semua tahu bahawa terdapat pelbagai jenis hazard yang ada di hospital yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pelawat terutamanya kanak-kanak. 

Sebagai contoh, di setiap wad dibekalkan jarum dan digunakan hampir sepanjang masa. Walaupun jarum ini disimpan dan dibuang di tempat yang selamat serta dikendalikan dengan pengawasan, kemahiran mereka yang pakar, risiko untuk mendapat kecederaan masih tinggi.

Selain daripada jarum, di hospital juga terdapat:

  1. Peralatan berbahaya seperti branula (jarum yang sedikit berbeza), kaca, ampule yang pecah.
  2. Ubatan dan dadah yang berbahaya, bertoksik dan radioaktif.
  3. Alatan tajam seperti pisau, gunting, pisau bedah, forceps.
  4. Bahan mudah terbakar seperti tong gas oksigen, cecair alkohol dan ethanol.
  5. Item berisiko tinggi seperti air panas, cecair dressing, cecair hygienic.
  6. Pesakit berbahaya seperti kes suicidal tendencies, aggresive behavior, restless.
  7. Keadaan yang tidak bersesuaian untuk kanak-kanak contohnya amputated patient, pesakit yang ada luka terbuka, kepatahan, lecur dan terbakar, external trauma yang mengerikan.


Semua perkara ini boleh menyebabkan trauma luaran dan dalaman kepada pelawat tidak kiralah sama ada pelawat dewasa atau kanak-kanak sedangkan kita yang dewasa ini juga takut nak melihat darah, inikan pula kanak-kanak?

3. Berdasarkan karangan individu ini, di mana dia menyebut tentang pengawal keselamatan, besar kemungkinan wad yang dilawatnya pada ketika itu merupakan wad-wad berprofil tinggi dan khas (specialized area) yang memerlukan pengawalan rapi oleh pengawal keselamatan.

Saya pun tidak tahu sangat keadaan di Hospital Jitra tetapi menurutnya wad yang dimaksudkan berkemungkinan Unit Rawatan Rapi, Unit Pembedahan, Unit Kecemasan, Kemalangan dan Trauma, Dewan Bersalin, Unit Perubatan Saraf contohnya wad psikiatri dan lain-lain lagi. 

Wad-wad ini digelar unit kawasan khas kerana ia mengendalikan kes-kes yang berbahaya dan teruk. Maka masuk akallah jika kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke kawasan terbabit. Kan bahaya tu? Logiklah.

4. Dan jangan kata pengawal keselamatan tak buat kerja.

Kasihan mereka, kenyataan individu ini bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan masuk itu merupakan satu bukti yang menunjukkan pengawal keselamatan ini menjalankan tugas mereka. 

Pengawal keselamatan dan unit polis bantuan merupakan satu unit pengawalan yang amat diperlukan oleh pihak hospital. Mereka inilah yang tolong memegang pesakit yang agresif, yang menjaga keselamatan pesakit dan kakitangan serta menjaga keadaan wad agar tidak dipenuhi pelawat yang datang bagaikan acara pass baton.

Dalam kes-kes absconded, lalu lintas depan Jabatan Kecemasan dan Kemalangan, mereka inilah yang akan tolong selesaikan.

5. Yang tentang pengarah itu, jika ada permasalahan, sila buat laporan secara rasmi dan sah mengikut saluran yang betul. Janganlah yakin sangat nak viralkan sesuatu isu yang akhirnya diri sendiri yang malu. 

Bak kata pepatah, “kerana marahkan panadol, habis doktor dia bodohkan”.

6. Kami tahu anda manusia sebab itu kami beri layanan yang bersesuaian untuk manusia. Jika kami pakar veterinari, lainlah ceritanya. Sebab kita sama-sama manusia, kita kena jaga risiko jangkitan yang boleh membahayakan manusia terutamanya kanak-kanak ini. 

7. Janganlah mencarut. 

Anwari Hamzah

Hospital Kuala Lumpur

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.